Sabah terima 780 lembu pedaging dari Australia, tingkat produktiviti ternakan

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah terima 780 lembu pedaging dari Australia, tingkat produktiviti ternakan

Kota Kinabalu: Sabah menerima 780 ekor lembu pedaging dari Darwin, Australia pada Ahad bagi meningkatkan produktiviti ternakan dan pendapatan penternak menerusi program integrasi ternakan lembu dengan ladang kelapa sawit.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar (gambar) berkata daripada jumlah itu, 750 ekor ialah lembu betina manakala 30 ekor lagi ialah lembu jantan daripada baka Brahman Cross yang sesuai dengan iklim panas dan lembap di Sabah.

Beliau berkata penghantaran berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti genetik ternakan tempatan, sekali gus memperkukuh industri penternakan menerusi program integrasi dengan ladang kelapa sawit.

“Dua minggu lalu, saya bersama pengarah dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar pergi ke tiga lokasi untuk mendapatkan bekalan ternakan.

“Selain 780 ekor lembu pedaging dari Darwin, kita turut membeli 395 ekor lembu tenusu serta 800 ekor kambing Boer dari Melbourne dan New Spain,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jamawi berkata peruntukan keseluruhan bagi pembelian ternakan berkenaan ialah RM10 juta setahun dengan program itu memberi tumpuan kepada penternak yang mempunyai ladang kelapa sawit bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan.

Beliau berkata lembu betina yang dibekalkan itu juga sedang bunting antara enam hingga tujuh bulan, sekali gus membolehkan penternak memperoleh anak lembu dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas menerima ternakan berkenaan.

“Selama ini, ada penternak yang masih menggunakan baka tempatan yang diwarisi sejak lima hingga 10 generasi. Kadangkala, mereka perlu menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelahiran anak lembu.

“Dengan penggunaan baka yang mempunyai produktiviti lebih baik, kita berharap pendapatan penternak dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata seramai 20 penternak dikenal pasti menerima lembu pedaging menerusi program itu, dengan setiap seorang menerima antara lima hingga 10 ekor mengikut keperluan.

Dalam pada itu, Jamawi berkata kerajaan negeri memperkenalkan syarat baharu tahun ini yang mewajibkan penerima bantuan ternakan membayar wang cagaran atau bon bagi memastikan lembu berkenaan dipelihara dengan baik dan tidak dijual dalam tempoh tiga tahun.

Beliau turut menggalakkan individu yang berminat untuk menceburi industri penternakan lembu pedaging, lembu tenusu atau kambing supaya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar di daerah masing-masing bagi mendapatkan bimbingan dan mengikuti kursus berkaitan.

“Jabatan akan membimbing mereka tentang cara menjadi penternak yang berjaya. Perkara paling penting ialah mereka perlu mempunyai ilmu dan mengikuti kursus yang disediakan di pusat latihan yang ditetapkan di seluruh negeri,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved