SHAH ALAM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyelar kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang didakwa cuba menyamakan risiko pencemaran penternakan babi dengan haiwan ternakan lain.
Shahidan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk cubaan untuk mengetepikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini telah menzahirkan titah agar aktiviti mempelihara babi tidak dibenarkan di negeri berkenaan.
Menurutnya, tindakan wakil rakyat DAP itu yang membuat perbandingan antara industri penternakan babi dengan haiwan lain dari aspek kebersihan dan kesihatan adalah tidak wajar.
"Kalau dia tidak faham bahasa atau tidak faham tentang cara kehidupan, dia boleh cakaplah. Adakah pencemaran ayam, lembu atau kambing ini sama tahapnya dengan pencemaran yang telah disebutkan (babi)?" soal beliau dalam satu rakaman video pada Khamis.
Dalam pada itu, Shahidan turut mempersoalkan sikap ahli-ahli kelab penyokong kerajaan serta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang dilihat memilih untuk berdiam diri berhubung isu sensitif tersebut.
"Kenapa wakil rakyat DAP lain tidak buka mulut? Rakan-rakan PH juga tidak bersuara. Padahal ini melibatkan titah Sultan Selangor. Jika titah Baginda dianggap remeh atau 'dienteng-entengkan', ia adalah satu perbuatan yang amat menyedihkan," tegas beliau.
Beliau turut meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk segera mengambil tindakan bagi menangani polemik tersebut dengan lebih tegas demi menghormati institusi diraja.
"Saya minta tolong selesaikan dan tangani perkara ini. Kita perlu menghormati dan menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Selangor," ujarnya lagi.
Respon Shahidan itu susulan Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri agar memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di negeri berkenaan.






