Safwan dinobat Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA 2026

11 Sep 2026 • 8:43 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Safwan dinobat Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA 2026

SELANGOR – Bermula dengan hanya satu pingat emas pada penampilan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, Muhammad Safwan Suhaimi kini mengukuhkan namanya sebagai antara perenang para terbaik negara apabila dinobatkan Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Selangor 2026.

Perenang Selangor berusia 21 tahun itu menutup kempen kali ini dengan pencapaian gemilang apabila mengumpul enam pingat emas dan satu gangsa, selain memecahkan dua rekod kebangsaan serta satu rekod kejohanan.

Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Penutupan Para SUKMA Selangor 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), malam tadi, sekali gus melengkapkan kejayaan kontinjen tuan rumah yang turut muncul juara keseluruhan temasya.

Safwan mencipta rekod kebangsaan baharu menerusi acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu S9 dan 200m rampaian individu SM9/SM10, selain memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 100m kuak lentang S9.

Tiga lagi emas disumbangkan menerusi acara 100m kuak dada S9, 4x100m gaya bebas 34 mata campuran dan 4x100m rampaian 34 mata campuran.

Beliau turut meraih gangsa dalam acara 4x100m rampaian 34 mata lelaki.

Mengimbas perjalanan kariernya, Safwan menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil daripada konsistensi dan kerja keras sejak mula memberi tumpuan serius kepada sukan renang pada 2022.

“Pada Para SUKMA 2022, saya berjaya meraih satu pingat emas dan tiga perak, yang bagi saya satu pencapaian agak luar biasa.

“Selepas itu, saya terus berlatih dan beraksi pada Para SUKMA Sarawak 2024, dengan memenangi empat pingat emas, tiga rekod kebangsaan dan satu rekod kejohanan.

“Saya terus konsisten untuk Para SUKMA 2026. Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, atlet olahraga Sarawak, Noshazwani Maisara Marzuki, 23, dinobatkan Atlet Para Wanita Terbaik selepas membawa pulang dua emas dan satu perak.

Noshazwani memecahkan dua rekod kejohanan menerusi acara merejam lembing F37 dan lontar peluru F37.

Lebih membanggakan, catatan 8.93m dalam lontar peluru memadam rekod kejohanan terdahulu 7.25m, selain meletakkannya dalam kelompok 10 terbaik dunia di peringkat Paralimpik.

Beliau turut meraih pingat perak menerusi acara lempar cakera F37.

Muhammad Safwan dan Noshazwani dipilih secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Pemilihan Atlet Terbaik Temasya Para SUKMA Selangor 2026 yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, Datuk Mohd Yazid Sairi.

The post Safwan dinobat Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA 2026 appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved