![Image from: Sah Ke Taubat Seseorang Jika Tak Lakukan Solat Taubat? Ini Apa Yang Patut Anda Tahu [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/sah-ke-taubat-seseorang-jika-tak-solat-taubat_1-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan dalam kehidupan. Namun, ada yang mendapat petunjuk dan menyedari lebih awal serta mahu berubah menjadi lebih baik.
Sebagai muslim, sesetengah individu sering diingatkan agar melakukan solat sunat taubat bagi mendapat keampunan Allah SWT.
Namun, bagaimana jika seseorang itu tidak menunaikan solat sunat terbabit tetapi berhenti melakukan dosa? Adakah ia juga dianggap sebagai taubat dan sah?
Solat Sunat Taubat Adalah Perkara Sunat, Tak Wajib Dilakukan
Menurut seorang pendakwah yang dikenali sebagai Ustaz Muhammad Nasrullah bin Che Hamid dalam satu hantaran di X, solat sunat taubat hanyalah salah satu perkara sunat yang boleh dilakukan ketika bertaubat.
Jelasnya, taubat itu tetap sah selagi mana seseorang itu memenuhi syarat taubat.
Taubat Seseorang Sah Jika 3 Syarat Taubat Dipenuhi
Merujuk satu hantaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Facebook, jelas mereka, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: ‘Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT, yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia maka syaratnya ada tiga:
- Menjauhi dan meninggalkan maksiat (dosa)
- Menyesal kerana telah melakukan dosa tersebut
- Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Jika salah satu syarat di atas tidak dipenuhi, maka taubatnya dianggap tidak sah.
Solat Taubat Tak Wajib Dilakukan Namun Permulaan Kepada Perkara Baik – UAI
Perkara sama turut dijelaskan oleh penceramah dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu video di YouTube tentang solat sunat taubat.
Jelas UAI, solat taubat adalah sunat dan bukannya wajib dilakukan. Ia merupakan permulaan buat seseorang untuk melakukan perkara baik.
“Solat taubat sunat bukan wajib. Kita meninggalkan dunia hidup kita yang kotor, yang jahat kepada yang baik.
“Jadi orang tanya Nabi Muhammad SAW ‘Ya Rasulullah, amalan apa yang terbaik?’ Kalau fardhu, sembahyang fardhu, kalau sunat, solat sunat.
“Maka, para sahabat (nabi), kalau dia nak buat benda yang baik, dia mulakan dengan sembahyang.
“Sunat bagi orang yang nak mulakan hidup dalam keadaan baik, mulakan dengan sembahyang.
“Akhirnya terkenal di zaman kita solat sunat taubat. Yang sebenarnya ulama kata tak berniat sunat taubat pun tak apa. kita solat dua rakaat, permulaan kita bertaubat kepada Allah SWT, itulah jadinya solat sunat taubat,” jelas UAI.
Baca Artikel Berkaitan: Ulangi Kesilapan Selepas Taubat Adakah Dikira Permainkan Taubat? Ini Penjelasan UAI [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Dosa Masih Ditayangkan Di Padang Mahsyar Walau Sudah Bertaubat? Ini Penjelasannya [Video]
