EGH International, Karuna gabung kepakaran komersialkan bangunan lama di Sarawak

15 Oct 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EGH International, Karuna gabung kepakaran komersialkan bangunan lama di Sarawak Image from: EGH International, Karuna gabung kepakaran komersialkan bangunan lama di Sarawak liza15/10/2026 - 18:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – EGH International Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, ECO Group Holdings Sdn Bhd (EGH), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Karuna Venture Holdings Sdn Bhd untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi membaik pulih, menaik taraf dan mengkomersialkan bangunan sedia ada di Sarawak.

 

Usaha sama itu akan dimiliki EGH sebanyak 51% dan Karuna sebanyak 49% dengan modal saham terbitan awal RM100,000 yang terdiri daripada 100,000 saham biasa.

 

Syarikat usaha sama itu akan mengenal pasti dan menilai bangunan berpotensi untuk dibaik pulih serta digunakan semula bagi meningkatkan nilai komersial aset berkenaan.

 

Strategi pengkomersialan termasuk penyewaan, pengendalian, pengurusan, perubahan kegunaan dan penjualan bangunan meliputi sektor komersial, hospitaliti, pejabat, penjagaan kesihatan, kediaman dan institusi.

 

Pengarah Urusan Kumpulan EGHI, Datuk Weslie berkata, banyak bangunan lama di pusat bandar terletak di kawasan strategik tetapi tidak lagi memenuhi keperluan penyewa dan pengguna masa kini.

 

Beliau berkata, segmen baik pulih dan penggunaan semula bangunan di lokasi utama masih belum diterokai secara meluas di Malaysia, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada kumpulan.

 

“Dengan rekod pengalaman selama 15 tahun dan lebih 200 projek berspesifikasi tinggi yang telah disiapkan, EGHI berada pada kedudukan baik untuk membantu pemilik bangunan, entiti berkaitan kerajaan dan amanah pelaburan hartanah (REIT) meningkatkan nilai aset mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Pembahagian peranan kedua-dua pihak

EGH akan mengetuai aspek teknikal dan pelaksanaan projek, termasuk penyelarasan reka bentuk dan pembinaan, perancangan kerja baik pulih serta kemasan dalaman, anggaran kos, strategi perolehan dan pengurusan projek.

 

Karuna pula akan mengendalikan pembangunan perniagaan di Sarawak, termasuk mengenal pasti peluang, menghubungkan pihak usaha sama dengan pemilik aset serta pihak berkepentingan dan membantu penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan. Kedua-dua pihak akan menilai peluang dan menyediakan rancangan perniagaan bersama.

 

Pengarah Eksekutif Karuna, Melvin Ong pula berkata, keupayaan pelaksanaan EGHI melengkapi pemahaman syarikatnya terhadap pasaran Sarawak, sekali gus membuka peluang untuk memberikan kegunaan baharu kepada bangunan sedia ada di negeri itu.

 

MoU sah selama 12 bulan

Karuna ialah syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang mempunyai kepentingan dalam hartanah. Syarikat itu juga memegang 49% kepentingan dalam SDEC-Karuna JV Sdn Bhd, usaha sama dengan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad yang membangunkan penyelesaian bandar pintar, sistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan infrastruktur digital bandar di Sarawak.

 

Kedua-dua pihak akan merundingkan perjanjian pemegang saham bagi memperincikan hak dan tanggungjawab masing-masing. MoU itu sah selama 12 bulan, melainkan dilanjutkan, digantikan dengan perjanjian berkenaan atau ditamatkan melalui persetujuan bertulis bersama.

 

EGHI akan membiayai kos penubuhan syarikat usaha sama menggunakan dana yang dijana secara dalaman. Kumpulan itu menjangkakan MoU berkenaan tidak memberi kesan material kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau nisbah penggearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved