liza24/11/2026 - 11:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Impact Capital Holdings Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 32 sen sesaham, iaitu premium 10 sen atau 45.45% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 22 sen.
Bagaimanapun, saham syarikat teknologi yang berpangkalan di Sarawak itu susut selepas dibuka, mencecah paras terendah 23 sen sebelum didagangkan pada 24 sen dengan lebih 77 juta saham bertukar tangan setakat pukul 9.15 pagi.
Pada harga dagangan terakhir itu, Impact Capital mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM115 juta.
Penampilan sulung syarikat itu turut mendapat perhatian susulan permintaan tinggi pelabur sebelum penyenaraian, apabila bahagian saham yang diperuntukkan kepada pelabur runcit terlebih langgan hampir 140 kali.
Prestasi saham Impact Capital juga mendapat sokongan daripada pemulihan ketara saham teknologi global, sekali gus mencetuskan sentimen positif terhadap sektor teknologi tempatan.
Indeks Teknologi Bursa Malaysia yang menjejaki prestasi 54 saham dalam sektor berkenaan melonjak hampir 7%.
Perluas operasi ke Lembah Klang dan Johor Bahru
Impact Capital yang beribu pejabat di Kuching, Sarawak, menyediakan perkhidmatan integrasi peralatan dan sistem teknologi untuk infrastruktur termasuk telekomunikasi, rangkaian perniagaan, pusat data serta sistem keselamatan.
Menerusi IPO berkenaan, syarikat mengumpul RM21.3 juta daripada penerbitan saham baharu bagi membiayai keperluan pengembangan perniagaan dan operasi.
Daripada jumlah itu, RM4.7 juta diperuntukkan untuk membuka pejabat baharu di Lembah Klang dan Johor Bahru bagi memperluas hubungan dengan pelanggan di luar Malaysia Timur.
Peruntukan sama turut merangkumi kos pemindahan pejabat sedia ada di Bintulu dan Kota Kinabalu ke lokasi baharu dalam bandar berkenaan.
Selain itu, RM4.5 juta akan digunakan bagi pengembangan tenaga kerja dan pembangunan perniagaan, manakala RM2.1 juta diperuntukkan untuk menubuhkan pusat inovasi dan penyelesaian digital di Lembah Klang.
Baki hasil IPO pula akan digunakan sebagai modal kerja serta membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Pengasas terima RM6.3 juta menerusi tawaran jualan
Menerusi IPO itu, Pengarah Urusan Impact Capital, Winston Chai Fung Chun dan Pengarah Eksekutif, Kok Teck Kuan yang juga pengasas bersama syarikat menerima RM6.3 juta menerusi tawaran jualan saham sedia ada.
Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com





