Saham Mentiga melonjak 36.21% susulan pengumuman Tengku Hassanal dan Norza beli 30% ekuiti

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 5:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Mentiga melonjak 36.21% susulan pengumuman Tengku Hassanal dan Norza beli 30% ekuiti Image from: Saham Mentiga melonjak 36.21% susulan pengumuman Tengku Hassanal dan Norza beli 30% ekuiti johardy14/10/2026 - 17:12 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Saham Mentiga Corporation Berhad melonjak 21 sen atau 36.21% kepada 79 sen ketika pasaran ditutup hari ini, susulan pengumuman HIS TIZA Pahang Sdn Bhd (HTP), syarikat usaha sama milik Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersetuju membeli 30% ekuiti kumpulan perladangan itu.

 

Sebanyak 996,200 saham bertukar tangan. Kaunter itu dibuka pada 80 sen dan bergerak antara 70 sen hingga 82.5 sen sepanjang dagangan, berbanding harga penutup semalam sebanyak 58 sen.

 

Pada harga penutup hari ini, permodalan pasaran Mentiga meningkat kepada RM55.3 juta daripada RM40.6 juta semalam, iaitu pertambahan RM14.7 juta berdasarkan 70 juta saham terbitan.

 

HTP bersetuju membeli 21 juta saham Mentiga daripada Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) pada harga RM1 sesaham atau keseluruhannya RM21 juta secara tunai, menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 12 Oktober 2026.

 

Harga pembelian tersebut mewakili premium 72.41% berbanding harga penutup Mentiga sebanyak 58 sen semalam. Walaupun melonjak hari ini, harga penutup 79 sen masih 21 sen di bawah harga pembelian yang dipersetujui HTP.

 

HTP dimiliki secara sama rata oleh HIS Holdings Sdn Bhd, syarikat pegangan pelaburan Tengku Hassanal dan TIZA Global Sdn Bhd, syarikat pegangan pelaburan Mohamad Norza.

 

Selepas transaksi selesai, HTP akan menjadi pemegang saham kedua terbesar Mentiga, manakala ASPA yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang akan kekal terbesar dengan pegangan 43.91%.

 

Mentiga turut terlibat dalam durian dan bijih besi

Mentiga, yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 1992, mempunyai kira-kira 10,036 hektar tanah pajakan jangka panjang di Pahang. 

 

Menurut kenyataan HTP, selain kelapa sawit, kumpulan itu mempunyai ladang durian yang dikendalikan melalui usaha sama serta kepentingan dalam perniagaan kayu balak.

 

Laporan Tahunan 2024 Mentiga turut merekodkan aktiviti perlombongan bijih besi di Kuala Lipis dan Sungai Diam di Jerantut. Laporan itu juga menyenaraikan Mentiga Development & Construction Sdn Bhd sebagai anak syarikat dengan aktiviti utama pembinaan am dan pembangunan hartanah.

 

HTP merancang bekerjasama dengan lembaga pengarah dan pengurusan Mentiga untuk meningkatkan produktiviti perladangan. Antara keutamaannya ialah menaikkan hasil tandan buah segar kelapa sawit secara berperingkat daripada kira-kira 14 tan sehektar kepada sekitar 18 tan sehektar, selaras dengan purata industri.

 

Dalam jangka panjang, HTP menyasarkan Mentiga menjadi platform perladangan utama Pahang, termasuk meneroka potensi penyatuan aset perladangan negeri di bawah syarikat itu, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan.

 

Mohamad Norza berkata, HTP sanggup membeli saham pada harga premium kerana melihat potensi pertumbuhan jangka panjang Mentiga, disokong pegangan tanah yang besar, perniagaan perladangan sedia ada dan usaha pemulihan prestasi yang sedang berjalan.

 

Menurutnya, HTP akan membawa pengalaman keusahawanan, pengalaman memulihkan prestasi perniagaan serta peluang pertumbuhan baharu bagi membantu lembaga pengarah dan pengurusan Mentiga meningkatkan nilai syarikat.

 

Pemulihan keuntungan berterusan pada 2026

Menurut kenyataan HTP, Mentiga kembali mencatatkan keuntungan pada 2025 selepas mengalami kerugian dari 2021 hingga 2024. Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih belum diaudit sebanyak RM1.32 juta daripada hasil belum diaudit RM18.71 juta.

 

Pengeluaran tandan buah segar turut meningkat 14% kepada 16,254 tan metrik dalam tempoh sama.

 

HTP bersetuju memegang saham Mentiga sekurang-kurangnya lima tahun. Menurut kenyataan HTP, urus niaga dijangka selesai dalam tempoh 30 hari pasaran daripada tarikh perjanjian atau pada hari pasaran kemudian yang dipersetujui ASPA dan HTP. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved