johardy17/09/2026 - 10:25 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Saham Pioneer Heat Holdings Berhad melonjak sehingga 24% pada penampilan pertama di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, selepas dibuka dengan kenaikan sederhana berikutan minat belian terhadap penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan awam itu.
Saham syarikat dibuka pada 25.5 sen, meningkat setengah sen atau 2% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham, sebelum melonjak kepada 31 sen pada pukul 9.10 pagi.
Lebih 33 juta saham diniagakan setakat waktu itu, dengan permodalan pasaran syarikat mencecah RM108 juta berdasarkan harga dagangan terakhir.
Prestasi dagangan itu menyusuli permintaan kukuh terhadap IPO Pioneer Heat apabila bahagian yang diperuntukkan kepada orang awam terlebih langgan hampir 48 kali.
Pioneer Heat yang berpangkalan di Pelabuhan Klang, Selangor menyediakan perkhidmatan kejuruteraan sistem perpaipan dan perkhidmatan khusus, termasuk rawatan haba, pengurusan bebibir serta ujian tanpa musnah.
Syarikat itu memberi perkhidmatan terutamanya kepada sektor minyak dan gas, petrokimia, utiliti serta pembuatan.
Raih RM26 juta menerusi IPO
Pioneer Heat meraih RM26.02 juta menerusi IPO itu, merangkumi RM21.68 juta hasil terbitan saham kepada syarikat dan baki RM4.34 juta kepada tiga promoternya yang merupakan adik-beradik, Wong Hing Chong, Wong Hing Kok dan Wong Heng Chong.
Pioneer Heat merancang menggunakan hasil IPO itu bagi membangunkan ibu pejabat baharu di Negeri Sembilan serta sebuah pejabat dan bengkel baharu di Sarawak untuk memperluas infrastruktur operasinya.
Syarikat turut memperuntukkan sebahagian dana berkenaan bagi pembelian mesin dan peralatan, modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian itu. - DagangNews.com





