hamden11/11/2026 - 10:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov – Saham SKA Capital Bhd (SKACAP) melonjak 19% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Rabu, mencerminkan sambutan positif pelabur terhadap penyenaraian firma kejuruteraan elektrik itu.
Saham syarikat berkenaan dibuka pada harga 51 sen sesaham, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 43 sen.
Kaunter itu kemudiannya meningkat kepada paras tertinggi 57.5 sen sebelum kali terakhir diniagakan pada 56 sen, dengan lebih 70 juta saham bertukar tangan setakat jam 9.15 pagi.
Berdasarkan harga IPO dan modal saham terbitan selepas penyenaraian sebanyak 895.5 juta saham, kumpulan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM385.1 juta.
Sasar kontrak infrastruktur kuasa bernilai lebih tinggi
Sementara itu SKA Capital menyasarkan untuk memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek dan memburu kontrak infrastruktur kuasa bernilai lebih tinggi selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Rabu.
Penyedia penyelesaian kejuruteraan infrastruktur kuasa itu berkata, penyenaraian berkenaan menyediakan platform lebih kukuh untuk mengembangkan perniagaan, termasuk meningkatkan keupayaan melaksanakan beberapa projek secara serentak serta meneroka projek yang lebih besar dan kompleks.
Pengarah Urusannya, Dato’ Subas Kumar A/L Ambairam berkata, strategi kumpulan adalah memperkukuh keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pencawang serta perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah.
Menurutnya, kumpulan juga akan terus selektif dalam memilih projek baharu dengan memberi penekanan terhadap pelaksanaan, keselamatan, kualiti, disiplin kos dan aliran tunai serta hubungan jangka panjang dengan pelanggan.
"Kami akan memperkukuh keupayaan EPCC pencawang dan utiliti bawah tanah, bergerak secara berperingkat ke arah projek yang lebih besar dan kompleks serta meningkatkan keupayaan melaksanakan beberapa projek pada masa sama," katanya dalam kenyataan sempena penyenaraian syarikat itu.
Menerusi tawaran awam permulaan (IPO), SKA Capital berjaya mengumpul kira-kira RM72.3 juta melalui terbitan awam 168.1 juta saham baharu pada harga 43 sen sesaham.
Daripada jumlah itu, hasil IPO akan digunakan terutamanya untuk pembelian mesin dan peralatan, memenuhi keperluan bon pelaksanaan bagi projek akan datang serta membiayai modal kerja.
Kumpulan berkata, sumber kewangan tambahan itu dijangka meningkatkan kapasiti operasi dan fleksibiliti kewangan, sekali gus memperkukuh keupayaannya mendapatkan kontrak infrastruktur kuasa bernilai lebih tinggi. - DagangNews.com





