Sakit perut tak halang Firdaus rangkul emas

20 Aug 2026 • 6:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sakit perut tak halang Firdaus rangkul emas

SERDANG: Niat asal sekadar mahu memperbaiki rekod peribadi bertukar menjadi detik paling manis buat atlet lempar cakera Perlis, Muhammad Firdaus Abdul Rahman berikutan kejayaannya merangkul meraih pingat emas pada penampilan sulung di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Firdaus memenangi pingat emas selepas melakukan lemparan sejauh 44.32 meter (m) dalam aksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali gus memperbaiki catatan peribadi terbaiknya iaitu 41.22m di Terbuka Chanthaburi pada Jun lalu.

Perak dimenangi rakan sepasukan juga senior Firdaus, Muhammad Haziq Danial Mohd Hafizullah dengan catatan 42.77m manakala gangsa diraih Syed Ali Syed Ahmad (41.03m) dari Sabah.

Lebih mengagumkan, kejayaan Firdaus hadir ketika dirinya baru pulih daripada sakit cirit-birit akibat mengalami keracunan makanan sejak Selasa lalu.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Firdaus berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat pada SUKMA kali ini, sebaliknya hanya mahu melakukan lemparan terbaik mengikut kemampuan.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya pergi ke SUKMA. Saya tidak sasarkan pingat pun sebab baru berusia 17 tahun.

“Saya datang dengan niat mahu buat catatan peribadi terbaik sahaja, setakat yang saya mampu.

“Saya pun baru lega sakit perut. Sudah dua hari saya kena. Saya mula sakit sejak Selasa dan semalam memang sakit perut sangat. Saya rasa mungkin sebab makan nasi lemak banyak sangat,” katanya sambil berseloroh kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Firdaus menyimpan impian lebih besar selepas kejayaan di pentas SUKMA apabila berhasrat mewakili negara pada masa akan datang.

“Saya teringin untuk wakil Malaysia sebab saya belum pernah dapat peluang itu,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan itu lagi.

Sementara itu, bagi acara lompat kijang lelaki menyaksikan pingat emas dimenangi oleh wakil Pahang, Muhammad Imran Abdullah selepas melakukan lompatan sejauh 15.25m.

Image from: Sakit perut tak halang Firdaus rangkul emas
Muhammad Imran Abdullah

Perak dimenangi atlet Pulau Pinang, Ng Tak Sing dengan catatan 15.23m manakala Ang Ming Feng dari Selangor melengkapkan podium dengan lompatan 15.06m. – UTUSAN

The post Sakit perut tak halang Firdaus rangkul emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved