SUKMA 2026: Shannon tidak sangka rangkul emas rampaian perseorangan

19 Aug 2026 • 8:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Shannon tidak sangka rangkul emas rampaian perseorangan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Atlet renang Selangor Shannon Tan Yang-Qing tidak menyangka mampu meraih pingat emas acara 400 meter rampaian perseorangan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Shannon menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 4:48.50 saat sekali gus mencipta kejayaan yang disifatkannya sebagai di luar jangkaan.

“Saya sangat gembira dan teruja, malah agak terkejut kerana memenangi pingat ini,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Menurutnya, acara 400 meter rampaian perseorangan baru menjadi acara utamanya sejak tahun lalu, menyebabkan kejayaan dan muncul juara pada SUKMA kali ini hadir sebagai kejutan buat dirinya.

“Saya rasa acara 400 meter rampaian perseorangan baru menjadi acara utama saya sejak tahun lalu, jadi saya sangat terkejut,” katanya.

Shannon berkata pengalaman beraksi di SUKMA sebelum ini turut menjadi antara platform penting dalam membantu meningkatkan prestasi dan keyakinannya.

Pada SUKMA Sarawak 2024, beliau berjaya meraih pingat perak dalam acara 800 meter gaya bebas serta mencatat peningkatan masa yang ketara.

“Saya meraih perak untuk acara 800 meter gaya bebas dan saya juga sangat terkejut ketika itu, saya juga mencatat peningkatan masa yang banyak,” katanya.

Berbanding temasya terdahulu, Shannon berkata beliau hadir ke SUKMA kali ini dengan persediaan yang lebih baik dan keyakinan lebih tinggi.

Mengulas mengenai individu yang banyak memberikan sokongan kepadanya, Shannon berkata kejayaan tersebut adalah hasil sokongan bersama daripada pasukan Selangor, keluarga dan jurulatih.

Katanya, sokongan daripada pasukan Selangor yang sentiasa memberikan semangat menjadi antara pendorong untuknya memberikan persembahan terbaik.

“Ibu bapa saya sentiasa membimbing dan membantu saya mengejar minat, manakala tunjuk ajar jurulatih juga sangat penting.

"Tanpa bimbingannya, saya tidak mencapai kejayaan ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved