ATLET Johor, Chai Kai Le mencipta sensasi apabila memperbaharui rekod Sukan Malaysia (SUKMA) berusia 26 tahun untuk merangkul pingat emas acara rejam lembing lelaki pada edisi Selangor 2026 pada Isnin.
Atlet berusia 18 tahun itu melakukan rejaman sejauh 64.44 meter (m) pada percubaan kedua di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus memadam rekod temasya 62.33m milik atlet Sarawak, Kho Mei Kuan yang dicatat pada edisi 2000 di Pulau Pinang.
Pingat perak menjadi milik wakil Pulau Pinang, Tan Chun Wei yang mencatat rejaman 60.43m, manakala rakan sepasukan Kai Le dari Johor, Mohd Noor Iman Norman membawa pulang gangsa dengan catatan 59.04m.
Bercakap kepada pemberita, Kai Le yang juga pemegang rekod kebangsaan bawah 20 tahun dengan catatan 65.65m berkata, beliau turun beraksi dengan sasaran untuk memperbaharui rekod temasya berkenaan.
"Memecahkan rekod itu memang dalam jangkaan saya kerana saya telah membuat persiapan rapi untuk SUKMA ini sejak dua tahun lepas. Jadi, saya sememangnya berpuas hati dan gembira dengan keputusan yang dicapai.
"Selepas rejaman kedua, saya melakukan kesilapan dari segi teknik menyebabkan bahagian bawah belakang saya terasa sakit dan badan mula keletihan. Jadi, saya tidak dapat melakukan rejaman lebih baik dan selepas itu hanya memberi tumpuan untuk mengawal keadaan serta mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius,” katanya.
Sementara itu, atlet Pulau Pinang berusia 18 tahun, Mohammad Aiman Haikal Sahrudin meraih pingat emas acara jalan kaki 10,000 meter (m) lelaki selepas mencatat masa 47 minit 28.84 saat (s).
Atlet Kelantan, Ahmad Farish Irfan Ahmad Fahmi meraih pingat perak dengan catatan 47:37.17s, manakala atlet remaja kebangsaan dari Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat masa 47:49.27s.
"Selepas ini sasaran saya untuk menembusi skuad kebangsaan dan melayakkan diri ke Sukan SEA 2027. Untuk Sukan SEA tiada acara 10,000m, jadi saya akan beri tumpuan dalam 20,000m yang juga acara saya akan sertai selepas ini di sini,” kata anak jati Kampung Tanah Liat, Pulau Pinang itu.
Sebagai rekod, Mohammad Aiman meraih pingat perak dalam acara sama pada edisi dua tahun lepas di Sarawak. - Bernama






