Saksi utama kes solar Rosmah beri keterangan tambahan 17 September

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 2:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Saksi utama kes solar Rosmah beri keterangan tambahan 17 September
Rosmah. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 September ini untuk pendengaran keterangan tambahan daripada saksi pendakwaan utama, ahli perniagaan, Rayyan Radzwill Abdullah dalam kes projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan anak guamnya untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuan.

Panel tiga hakim turut memerintahkan keterangan berkenaan direkodkan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Semasa prosiding, Aslam berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh berkenaan berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan sehingga penangguhan diberikan.

Rosmah, 75, sebelum ini memohon untuk mengemukakan bukti tambahan berupa laporan polis dan akuan berkanun yang dibuat serta disahkan Rayyan, yang juga saksi pendakwaan ke-16.

Dalam akuan tersebut, Rayyan mendakwa beliau dikenakan tekanan oleh pihak pendakwaan ketika perbicaraan.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan projek berkenaan.

Panel itu memerintahkan bukti tambahan diperoleh daripada Rayyan menerusi pemeriksaan balas lanjut dan pemeriksaan semula.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dia didapati bersalah meminta RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta.

Dia kemudian diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Semasa prosiding, Jagjit berkata, Mahkamah Rayuan mengarahkan pengurusan kes berkenaan dijalankan pada Khamis dan menghendaki Mahkamah Tinggi merekodkan bukti tambahan dalam tempoh dua minggu.

“Pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan penggantungan prosiding, tetapi tiada tarikh yang ditetapkan lagi.

“Kami menggesa mahkamah meneruskan penetapan tarikh tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan berkata, pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 4 September.

“Kami juga memfailkan permohonan untuk penggantungan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 September.

“Mahkamah belum menetapkan tarikh bagi prosiding berkenaan jadi saya mengemukakan notis segera, mungkin ia tidak akan mengambil masa yang lama,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved