Salah Guna Akaun Bank Anak OKU, Isteri Anggota Polis Menangis Rayu Hukuman Ringan

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 8:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Salah Guna Akaun Bank Anak OKU, Isteri Anggota Polis Menangis Rayu Hukuman Ringan

KOTA TINGGI - Seorang suri rumah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan akaun bank anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) untuk menerima wang hasil penipuan sewaan rumah.

Noor Fazira Sinen, 31, dilihat menangis ketika merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan.

Tertuduh yang juga isteri kepada seorang anggota polis itu memaklumkan kepada Hakim Hafizah Abdul Rajak bahawa dia sedang mengandung anak keenam, selain perlu menjaga ibunya yang sudah berusia.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap Noor Fazira, dan menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, Noor Fazira menggunakan akaun bank milik anaknya untuk menerima wang berjumlah RM1,500 daripada Anis Amera Zaini.

Anis sebelum itu memberi respons terhadap satu iklan di Facebook yang menawarkan sebuah rumah untuk disewa, namun rumah berkenaan sebenarnya tidak tersedia untuk disewakan.

Wang RM1,500 itu kemudian dipindahkan ke akaun bank tersebut pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, Anis menyedari dirinya telah ditipu selepas kunci rumah berkenaan tidak diserahkan seperti dijanjikan, sebelum membuat laporan polis di Bandar Tenggara.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Anggerik 2/12, Taman Anggerik Tenggara, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, antara 30 April hingga 22 Mei lalu.

Noor Fazira didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan.

Tertuduh tidak diwakili peguam dalam prosiding berkenaan. - Getaran, 18 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved