
GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang didakwa melakukan rompakan dan mencederakan seorang lelaki warga India dilihat hanya tersenyum ketika diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mohd Salim Kapoor Rahim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik seorang lelaki warga India serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di hadapan sebuah rumah di Blok A-2-5, Taman Nusantara, Jalan Makloom, di sini, kira-kira pukul 4.20 petang, 8 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding, Anuarul memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan dan jaminan akan dibuat oleh isterinya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bersama syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan, sekali gus menetapkan 15 September depan sebagai sebutan semula kes.
Mengikut fakta kes, tertuduh dipercayai pergi ke sebuah inap desa yang didiami mangsa sebelum memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan meminta mangsa mengemukakan pasport.
Tertuduh kemudian didakwa bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan kunci mangga sebelum merampas telefon bimbit milik lelaki itu dan melarikan diri.
Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan belakang badan. – KOSMO! ONLINE
The post Salim Kapoor senyum dituduh rompak, cedera warga asing appeared first on Kosmo Digital.






