Samaiden hampir raih kontrak CRESS pertama, potensi kemenangan EPCC cecah RM900 juta – TA Research

Business & Finance
4 Nov 2026 • 11:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Samaiden hampir raih kontrak CRESS pertama, potensi kemenangan EPCC cecah RM900 juta – TA Research Image from: Samaiden hampir raih kontrak CRESS pertama, potensi kemenangan EPCC cecah RM900 juta – TA Research liza04/11/2026 - 11:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Samaiden Group Berhad berpotensi memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berkaitan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bernilai sekurang-kurangnya RM800 juta hingga RM900 juta, berdasarkan buku tender semasa kumpulan, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, anggaran berkenaan lebih tinggi berbanding andaian semasa mereka yang mengunjurkan penambahan buku tempahan CRESS EPCC antara RM600 juta hingga RM700 juta.

 

Kira-kira 70% daripada buku tender Samaiden bernilai RM3 bilion terdiri daripada projek berkaitan CRESS, merangkumi peluang sebagai kontraktor EPCC dan pemaju aset.

 

Selain hampir memperoleh kontrak EPCC CRESS pertamanya, Samaiden sedang mengusahakan tiga lagi projek di bawah skim berkenaan dengan kapasiti keseluruhan 400 megawatt (MW).

 

Daripada jumlah itu, kumpulan sedang membida sebagai kontraktor EPCC bagi projek 100MW dan berpeluang menjadi pemaju aset untuk projek 200MW, manakala peranan bagi satu lagi projek 100MW masih belum ditentukan.

 

Pengurusan Samaiden menjangkakan keperluan integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dalam projek CRESS boleh meningkatkan nilai kontrak EPCC kepada RM4 juta hingga RM4.5 juta bagi setiap megawatt arus ulang-alik (MWac).

 

Buku tempahan disasar RM1 bilion

Dalam perkembangan berkaitan, Samaiden yakin mencapai sasaran buku tempahan sebanyak RM1 bilion menjelang akhir 2026, berbanding kedudukan semasa sekitar RM675 juta atau 1.9 kali hasil tahunan.

 

Jumlah itu mengambil kira kontrak RM238 juta daripada YTL Power International Berhad bagi pembinaan loji solar fotovoltaik berkapasiti 99.99MWac di bawah program Solar Berskala Besar 5+ (LSS5+).

 

TA Research berkata, mekanisme CRESS yang membolehkan pemaju tenaga boleh baharu berunding secara langsung dengan pelanggan korporat turut memberikan ruang penetapan harga yang lebih fleksibel. 

 

“Samaiden menganggarkan kadar pulangan dalaman ekuiti bagi aset CRESS boleh mencapai sehingga 12%, berbanding kadar satu digit tinggi bagi aset LSS,” katanya.

 

LSS6 turut menjadi pemangkin

Selain CRESS, Samaiden turut memberi tumpuan kepada program Solar Berskala Besar 6 (LSS6) yang menawarkan kapasiti solar 2.65 gigawatt (GW) dan BESS sebanyak 1.25GW.

 

TA Research menganggarkan peluang kontrak EPCC di bawah program itu bernilai RM8 bilion hingga RM9 bilion, dengan Samaiden menyasarkan bahagian sehingga 20%. Bagaimanapun, unjuran semasa firma penyelidikan itu hanya mengambil kira bahagian kontrak sebanyak 5%.

 

Sehubungan itu TA Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Samaiden dengan harga sasaran RM3.45 sesaham, berbanding RM2.98 ketika ini.

 

Firma itu turut mengunjurkan keuntungan bersih teras kumpulan meningkat kepada RM54.7 juta pada FY2027 dan RM80.6 juta pada FY2028, berbanding RM38.9 juta pada FY2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved