johardy12/08/2026 - 15:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sektor perladangan dijangka kekal berdaya tahan pada separuh kedua 2026 (2H26) hingga memasuki 2027, dengan harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi meskipun pengeluaran meningkat secara bermusim.
Purata harga MSM dijangka kekal melebihi RM4,000 satu tan, disokong bekalan yang lebih ketat, pelaksanaan mandat biodiesel serta potensi kesan El Nino yang mampu menyokong pendapatan dan margin keuntungan syarikat perladangan.
TA Research mengekalkan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor perladangan dengan unjuran purata harga MSM sebanyak RM4,300 satu tan bagi 2026.
Firma penyelidikan itu menjangkakan harga MSM menyederhana pada 2H26 apabila pengeluaran dan paras inventori Malaysia meningkat, namun tidak menjangkakan berlaku pembetulan harga yang ketara.
“Walaupun pengukuhan harga minyak sayuran global baru-baru ini memberi sokongan kepada MSM, kami percaya peningkatan bekalan akan terus mengehadkan potensi kenaikan harga,” katanya.
TA Research berkata, program biodiesel Indonesia dijangka menyokong penggunaan minyak sawit domestik, manakala harga minyak kacang soya yang lebih kukuh dan peningkatan permintaan bahan mentah biofuel di Amerika Syarikat dijangka menyokong pasaran minyak sayuran secara keseluruhan.
Permintaan bantu serap peningkatan bekalan
Aktiviti pengisian semula stok menjelang musim perayaan oleh negara pengimport utama pada penghujung suku ketiga juga dijangka membantu menyerap sebahagian peningkatan bekalan bermusim.
RHB Research turut mengekalkan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor perladangan dengan unjuran harga MSM sebanyak RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,500 satu tan bagi 2027.
Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) juga mengekalkan saranan ‘Overweight’, dengan menjangkakan harga MSM kekal tinggi sepanjang 2H26 berikutan keadaan bekalan yang semakin ketat dan permintaan yang berdaya tahan.
“Kami terus memilih syarikat perladangan yang sebahagian besar operasinya tertumpu kepada segmen huluan serta mempunyai pendedahan lebih besar di Malaysia kerana pendapatan mereka lebih mendapat manfaat daripada pengukuhan harga MSM, selain mempunyai pendedahan lebih rendah terhadap risiko kawal selia dan dasar luar negara,” katanya.
HLIB Research berkata, harga MSM sejak awal tahun mencatat purata RM4,380 satu tan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran purata harga MSM sebanyak RM4,450 satu tan bagi 2026 dan RM4,300 satu tan bagi 2027. - DagangNews.com






