
PENYANYI, pelakon dan komposer Mark Adam berkongsi catatan buat isteri tercinta, Norazah Redzuan. 23 tahun melayari bahtera rumah tangga bukan tempoh yang singkat.
Pemilik nama Fikri Adam Mark Abdullah, 47, itu menyentuh hati warganet dengan luahan buat wanita yang dinikahinya pada 31 Ogos 2003.
Bagi Mark, rahsia keutuhan rumah tangga mereka sebenarnya ialah tidak pernah melepaskan genggaman tangan antara satu sama lain.
"Selamat ulang tahun perkahwinan B. Kalau orang tanya apa yang paling istimewa tentang perjalanan kita, jawapan saya mudah, kita tak pernah tinggalkan satu sama lain.

"Kita sudah lalui macam-macam dalam hidup. Ada hari kita ketawa, ada hari kita menangis. Ada masa semuanya terasa mudah tetapi ada juga masa dugaan datang bertubi-tubi sampai kita sendiri tak tahu macam mana nak hadapinya.
"Tetapi dalam setiap keadaan itu, tangan awak tetap ada dalam tangan saya. Dan tangan saya tetap cuba menggenggam tangan awak sekuat yang saya mampu.
"Kita mungkin tak selalu tahu apa yang akan berlaku esok, tapi kita selalu cuba cari jalan bersama. Bila satu pintu tertutup, kita cari pintu yang lain. Bila kita rasa dah tak ada jalan, ALLAH tunjukkan jalan yang kita sendiri tak pernah sangka," kongsinya.
Mengakui kehidupan berumah tangga tidak sentiasa indah, pelantun lagu Pencuri itu menyentuh hati peminat apabila beliau menyifatkan kehadiran isteri sebagai pinjaman dan hadiah terbesar daripada ALLAH.
"Alhamdulillah, ALLAH tak pernah tinggalkan kita. ALLAH pinjamkan awak kepada saya sebagai teman dalam setiap ujian dan kebahagiaan.
"Thank you B kerana tetap bersama saya ketika saya tak sempurna. Terima kasih kerana tetap menggenggam tangan saya ketika hidup terasa berat. Terima kasih kerana memilih untuk bertahan, memahami dan terus berjalan bersama saya. Saya tak janji perjalanan kita selepas ini akan sentiasa mudah.

"Tapi saya janji satu perkara, selagi Allah izinkan saya akan tetap pegang tangan awak. Kalau kita jatuh, kita bangun sama-sama. Kalau kita susah, kita hadap sama-sama. Kalau kita bahagia, kita syukuri sama-sama.
"Kalau suatu hari nanti kita sudah tua, saya harap kita masih boleh pandang satu sama lain dan berkata, “Alhamdulillah… kita dah lalui semuanya bersama,” titip Mark.
Kepada suri hatinya, pelantun lagu Katak itu berdoa agar ALLAH sentiasa memberkati bahtera yang dibina sejak 23 tahun lalu.
"Selamat ulang tahun perkahwinan,B. Semoga ALLAH terus menjaga rumah tangga ini, melindungi, melapangkan rezeki, menguatkan hati dan mengurniakan cinta yang semakin dalam setiap hari.
"Susah senang , dugaan dan ujian kita hadapi bersama. Sampai ke hujung usia, insya-ALLAH tangan ini tetap untuk awak. Saya sayang awak, hari ini, esok dan sampai ALLAH izinkan kita bertemu di syurga," titip Mark.
Perkongsian Mark pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat dan rakan artis yang rata-ratanya mendoakan agar ikatan perkahwinan Mark Adam dan isteri sentiasa dirahmati, diberkati serta kekal bahagia hingga ke hujung nyawa. Tidak kurang yang mengakui menitiskan air mata.
Untuk rekod, Mark yang merupakan seorang mualaf berkahwin dengan Norazah yang juga merupakan pengurusnya pada 2003.




