POKOK tumbang bukan lagi sekadar kejadian bermusim atau bencana kecil yang berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.
Sebaliknya isu berkenaan membimbangkan apabila membabitkan nyawa manusia, kenderaan serta kerosakan harta benda awam dan persendirian.
Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menunjukkan 26,001 kes pokok tumbang direkodkan di seluruh negara dari 2021 hingga Jun 2026, mengakibatkan 50 kematian dan 243 kecederaan.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, 1,912 kes direkodkan dengan empat kematian serta 20 kecederaan. Lebih meresahkan, kejadian seumpama itu terus berlaku.
Pada 3 Ogos lalu, empat individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap pokok.
Terbaharu pada 14 Ogos, dua warga emas cedera selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Chamang, Bentong.
Persoalannya, sampai bila tindakan hanya diambil selepas pokok tumbang?
Sudah tiba masanya pengurusan pokok berisiko beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mewujudkan inventori pokok berisiko, terutama di jalan utama, kawasan sekolah, hospital, taman awam, tempat letak kereta dan lokasi tumpuan orang ramai.
Audit keselamatan juga perlu dilaksanakan secara berkala oleh arboris atau pegawai berkelayakan, bukan sekadar pemeriksaan visual.
Keadaan akar, batang, dahan, kanopi, kecondongan serta kesan pembangunan di sekitar pokok perlu dinilai secara teknikal.
Teknologi pengesan pokok juga wajar diperluaskan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya menuju penggunaan 400 unit pengesan pokok bagi memantau perubahan keadaan tanah, kelembapan dan kestabilan struktur pokok di lokasi berisiko.
Pokok yang masih sihat perlu dipelihara, manakala pokok yang terbukti berbahaya perlu dipangkas, dirawat atau ditebang dan diganti secara terancang.
Pokok ialah aset alam sekitar tetapi keselamatan manusia tidak boleh menjadi taruhan.
Pendekatan terbaik bukan menunggu pokok tumbang, sebaliknya mengenal pasti risiko sebelum tragedi berlaku.





