
Samsung Mobile mungkin akan mencatatkan kerugian pertama mereka tahun ini disebabkan oleh peningkatan kos menghasilkan peranti menurut laporan media Korea. TM Roh ketua perniagaan mudah alih (MX) Samsung menyatakan kebimbangan berlakunya defisit tahun ini sedangkan selama ini ia sentiasa mencatatkan keuntungan.
Margin keuntungan jualan peranti tahun 2026 akan mengecil disebabkan kos RAM dan storan yang meningkat secara mendadak dipacu oleh permintaan pusat data kecerdasan buatan (AI). Walaupun Samsung Semiconductor menghasilkan cip memori dan storan sendiri, harga komponen yang dibeli oleh MX masih lagi lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Seperti syarikat memori yang lain, pelanggan perniagaan yang memesan memori untuk AI diberikan keutamaan kerana sanggup membayar pada harga tinggi disamping melakukan jumlah pesanan yang lebih besar berbanding pelanggan pengeluar peranti elektronik. Keuntungan Samsung Electronics pada suku lalu melonjak lebih 700% berbanding tahun lalu semua disebabkan perniagaan memori yang mempunyai permintaan lebih tinggi berbanding kapasiti pengeluaran.
Sudah dapat dilihat harga jualan siri Galaxy S dan Galaxy A tahun ini dijual pada harga sehingga RM600 lebih mahal. Di Amerika Syarikat pula, harga siri Galaxy S25, Galaxy Z dan Tab S tahun lalu juga telah dinaikkan kerana kos komponen.
Samsung masih lagi pengeluar telefon pintar terbesar global pada Q1 2026 dengan Apple di tangga kedua. Kedudukan teratas ini masih tidak mencukupi untuk mengelakkan kerugian berlaku dengan ia menimbulkan persoalan apakah pula situasi di syariat pengeluar lain tahun ini.




