Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

LocalTechnology
21 May 2026 • 12:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apabila bercakap mengenai pembukaan kedai ataupun ruang pengalaman fizikal, lokasi-lokasi seperti ini secara lazimnya dibuka untuk pelanggan ataupun mereka yang mahu melihat penawaran produk di hadapan mata sebelum membeli produk-produk yang ditawarkan.

Image from: Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

Samsung Malaysia hari ini telah membuka kedai Partner Experience Store pertama mereka di KL Eco City Mall khusus untuk rakan niaga dan para pengedar produk-produk Samsung untuk membolehkan mereka mengalami sendiri bagaimanakah perasaan menggunakan pelbagai produk-produk mereka sebelum ia dijual ke pasaran.

Image from: Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

Pusat pengalaman khas ini dibuka dengan kerjasama bersama Modernize Vida, sebuah syarikat yang berpengalaman untuk membangunkan dan mereka ruang yang memanfaatkan penggunaan teknologi teknologi pintar; dan untuk kolaborasi ini, Samsung Malaysia telah bekerjasama dengan Modernize Vida untuk memperkenalkan satu ruang yang dipenuhi dengan kelengkapan elektrik dan elektronik pintar yang hadir dengan teknologi Samsung SmartThings.

Image from: Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

Ruang ini dilihat membuktikan kehebatan teknologi terhubung merentasi tujuh sektor utama termasuk peruncitan, kewangan, hospitaliti, dan kerajaan. Pendekatan ini bukan sahaja melancarkan operasi, malah meningkatkan keberkesanan serta pengalaman pengguna secara keseluruhan. Usaha ini turut disokong oleh strategi Devices, Solutions and Services (DSS) Samsung yang menyepadukan perkakasan, perisian serta perkhidmatan bagi memacu inovasi B2B yang berskala sederhana dan besar.

Image from: Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

Diantara produk-produk yang dapat diperlihatkan pada pusat pengelaman ini adalah televisyen pintar gergasi Samsung The Frame, pendingin hawa Samsung 1-Way Ceiling Cassette dan Samsung 360 Cassette yang boleh dipasang didalam dinding, dan juga siri mesin pembasuh dan pengering pakaian Samsung Professional Laundry yang boleh dimanfaatkan untuk persekitaran komersial dan industri penggunaan tinggi, dimana setiap mesin hadir dengan kapasiti pembasuhan 18KG dan pengeringan 14KG.

Image from: Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

Untuk syarikat ataupun perniagaan yang berminat untuk menggunakan sistem Samsung SmartThings untuk mengawal dan mengurus peranti-peranti mereka, pusat pengalaman ini juga menunjukkan bagaimana seluruh operasi peranti perniagaan dapat dikawal melalui satu konsol sahaja dengan mudah.

Image from: Samsung Partner Experience Store Dibuka Di KL Eco City Mall Khas Untuk Rakan Niaga Dan Pengedar

Kami juga diberitahu bahawa lawatan ke Samsung Partner Experience Store ini memerlukan tempahan awal supaya pihak pusat boleh bersiap-sedia untuk menawarkan pengalaman lawatan yang bersesuaian dengan keperluan rakan Samsung.