Samun di Genting Highlands: 81 barang kemas bernilai RM1.74 juta dilarikan

18 Aug 2026 • 2:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Samun di Genting Highlands: 81 barang kemas bernilai RM1.74 juta dilarikan
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan individu dipercayai suspek melarikan diri selepas melakukan rompak kedai emas dalam pusat beli-belah di Genting Highlands pada Isnin.

KUANTAN - Sebanyak 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dilarikan tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing dari sebuah kedai emas di pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.39 pagi daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memakai penutup muka, topi dan jaket ketika memasuki premis berkenaan sebelum mengambil lima bekas mengandungi 81 barang kemas itu.

"Kejadian dipercayai berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sebelum suspek melarikan diri kira-kira 11.41 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azry Akmar berkata, ketika kejadian, dua pekerja masing-masing lelaki dan wanita berada di dalam premis manakala seorang lagi pekerja wanita keluar untuk berehat.

Beliau berkata, tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian berlaku dan tiada kecederaan dilaporkan.

"Tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis berkenaan. Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis mengaktifkan Ops Tutup pada 12 tengah hari di sekitar Genting Highlands serta laluan menghala ke Batang Kali sebelum operasi itu ditamatkan pada 4.15 petang.

Azry Akmar berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan ketiga-tiga suspek berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Aqilah Azmi melalui talian 011-3175 9522 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved