
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebanyakan orang berpendapat tugas sebagai penghantar makanan adalah satu pekerjaan yang mudah.
Namun hakikatnya, hanya mereka yang bekerja dalam bidang itu sahaja tahu cabaran dan realiti sebenar pekerjaan tersebut.
Ketua Menteri Melaka Jadi Delivery Boy, Mahu Dapatkan Pengalaman Jadi Delivery Boy
Terpanggil untuk merasai pengalaman sebenar menjadi penghantar makanan, Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah mencuba sendiri menjadi penghantar makanan di kawasan Pengkalan Balak, Melaka.
Perkara itu dikongsikan oleh beliau dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, 1 September.
Jelas Ab Rauf, dia terpanggil untuk menjadi penghantar makanan selepas sering tertanya-tanya bagaimana rasa sebenar menjadi seorang rider.
“Bagaimana rasanya jadi abang rider? Itulah yang selama ini berlegar di minda saya. Hari-hari saya perhatikan abang-abang rider ini bawa motor siang malam memenuhi pesanan orang Melaka dalam kaedah dunia digital hari ini.
“Atas dasar itulah, saya terpanggil untuk jadi Delivery Boy petang ini di Kedai Makan Sri Pantai Mak Jah, Pengkalan Balak.
“Saya nak selami sendiri dan memahami realiti kehidupan sebenar komuniti p-hailing ini mencari nafkah setiap hari demi kelangsungan hidup,” tulisnya.
Ketua Menteri Melaka Akui Pekerjaan Penghantar Makanan Bukan Mudah
Kongsi Ab Rauf, dia mengakui tugas sebagai penghantar makanan bukanlah satu perkara yang mudah.
“Nyata, bukan mudah ya. Saya akui memang yang berjiwa kental sahaja mampu menyahut tanggungjawab besar ini.
“Mana nak kejar order, nak cari kedai, dah tu bawa pula pesanan hingga sampai ke alamat pelanggan. Memang sangat mencabar!” tulisnya.
Kerajaan Negeri Melaka Perkenal Inisiatif Bantu Pekerja P-Hailing
Memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan tersebut, Ab Rauf dalam hantaran sama mengumumkan inisiatif oleh Kerajaan Negeri buat kumpulan penghantar makanan menerusi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Insya-Allah, melalui Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Kerajaan Negeri akan memperkenalkan inisiatif potongan harga servis motosikal sehingga 30% kepada lebih 3,000 penghantar makanan di seluruh Melaka.
“Kita akan kenal pasti 28 bengkel motosikal, satu di setiap kawasan DUN, bagi memastikan manfaat ini dapat dirasai oleh abang-abang rider di seluruh negeri. Butirannya akan saya umumkan tidak lama lagi,” tulisnya.
Tindakan Ab Rauf Turun Padang Jadi Penghantar Makanan Raih Pujian Ramai, Wajar Dijadikan Contoh
Tindakan Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara sanggup turun padang mencuba tugas sebagai penghantar makanan nyata mendapat pujian serta penghargaan khususnya dari golongan p-hailing itu sendiri.
Menurut seorang penghantar makanan, Muhammad Akmal Mustapa Kamal, dia menghargai kesediaan Ab Rauf yang sanggup menerima pesanan, membuat penghantaran serta merasai sendiri cabaran yang dihadapi oleh rider setiap hari.
Muhammad Akmal yang berusia 37 tahun dan merupakan bapa kepada empat orang anak itu menjelaskan, pengalaman yang diterima oleh Ab Rauf sebagai Ketua Menteri membolehkannya untuk melihat sendiri risiko pekerjaan mereka yang berdepan keadaan cuaca serta trafik di jalan raya.
“Kita ingatkan tak ada yang sudi, tetapi tiba-tiba Ketua Menteri sendiri datang untuk ikut dan rasa macam mana kami rasa,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Dalam pada itu, Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) menyifatkan pendekatan Ab Rauf yang merasai sendiri pengalaman sebagai penghantar p-hailing sebelum mengumumkan beberapa inisiatif wajar dijadikan contoh oleh kerajaan negeri lain.
Menurut Pemangku Presiden LEAD Malaysia, Saif Arman Shah Mohamad, pekerja gig juga adalah sebahagian daripada sistem ekonomi negeri dan mereka bukan sekadar kumpulan yang diberi perhatian ketika isu tular, kemalangan atau menjelang pilihan raya.
Jelasnya, apa yang penting bukan hanya tindakan seorang pemimpin yang menunggang motosikal atau menghantar pesanan kepada pelanggan.
Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh beliau selepas merasai realiti sebenar pekerjaan tersebut.
“Pengalaman berkenaan diterjemahkan kepada tindakan apabila Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan perancangan subsidi penyelenggaraan motosikal sekitar 20 hingga 30% bagi membantu lebih 3,000 penghantar p-hailing selain meneliti peluasan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta kemudahan yang lebih sesuai untuk komuniti berkenaan,” jelasnya.
Tambah Saif Arman Shah, langkah turun ke lapangan, memahami realiti pekerja serta menterjemahkan maklum balas kepada dasar serta penyelesaian adalah perkara yang perlu dilihat dengan lebih banyak oleh kerajaan negeri.
Jelasnya, pekerja gig berada di jalan raya setiap hari termasuklah dalam keadaan cuaca hujan dan panas serta masih terus bekerja meskipun sebahagian masyarakat bercuti dengan menghantar makanan, membawa penumpang serta membantu memastikan aktiviti ekonomi bandar terus bergerak.
“LEAD Malaysia berpandangan pekerja gig perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi negeri, bukan sekadar kumpulan yang dipanggil menghadiri program atau menerima bantuan sekali-sekala,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Menjadi Rider Bukannya Mudah” – Dr Sheikh Muszaphar Kongsi Video Dari Perspektif Seorang Rider Makanan
Baca Artikel Berkaitan: Demi Keluarga, Dari Pilot Kini Menjadi Rider Hantar Kek Jualan Isteri






