Wawasan belum putus jumlah kerusi ditandingi di Melaka 

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 6:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wawasan belum putus jumlah kerusi ditandingi di Melaka 

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai berapa jumlah kerusi yang bakal ditandingi Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih menjadi tanda tanya kerana rundingan masih belum dimuktamadkan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh mengesahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi Wawasan sehingga rundingan berkenaan selesai dan mencapai persetujuan.

“Ini semua dalam rundingan. Jadi jangan sebut berapa kerusi, dalam rundingan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) Wawasan di sini hari ini.

Sebelum ini, Wawasan berhasrat bertanding pada PRN Melaka akan datang, untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi wakil rakyat yang kini menjadi ahli parti itu.

Kerusi DUN terbabit ialah Bemban dan Sungai Udang.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Wawasan kini mempunyai 160 Ketua Bahagian Penaja yang dilantik di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

Katanya, setiap Ketua Bahagian Penaja diberikan tanggungjawab mendapatkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli selain menubuhkan cawangan berdasarkan jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Sasaran minimum 1,000 ahli itu ditetapkan berdasarkan keperluan membentuk jentera pilihan raya yang kukuh di setiap kawasan Parlimen.

“Kalau sesebuah bahagian ada 30 PDM, bermakna 30 cawangan. Kalau ada 40 PDM, 1,000 ahli itu tidak mencukupi,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya turut menetapkan penilaian terhadap pencapaian Ketua Bahagian Penaja, termasuk kemajuan mendapatkan ahli, yang akan dibuat selepas tempoh tertentu.

Katanya, beberapa pelantikan Ketua Bahagian Penaja masih ditangguhkan kerana Wawasan mahu menyelesaikan rundingan bagi mendapatkan calon terbaik secara harmoni.

“Selain itu, Wawasan turut membuka ruang kepada pelbagai golongan termasuk bekas anggota polis, tentera, pegawai kerajaan, diplomat, ahli perniagaan, ahli akademik dan tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata Wawasan tidak mahu budaya menyekat individu daripada menyertai parti menjadi amalan sejak penubuhannya.

“Pada peringkat awal ini jangan sekali-kali memulakan tradisi yang tidak elok, termasuk ‘block’ orang daripada menjadi ahli. Kita terima semuanya,” katanya. –UTUSAN

The post Wawasan belum putus jumlah kerusi ditandingi di Melaka  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved