

1 Ogos 2026 bukan sekadar mencatatkan kekalahan seorang calon pilihan raya, sebaliknya menandakan berakhirnya dominasi politik Anthony Loke di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang dibinanya selama 22 tahun.
Sejak 2013 menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan, beliau sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi itu dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) berturut-turut, termasuk memperoleh majoriti 2,200 undi pada 2023.
Namun kali ini dalam PRN Negeri Sembilan, beliau tewas dengan 688 undi. Hakikatnya tewas tetap tewas. Lebih mengejutkan, Anthony yang dikira antara aset paling bernilai dalam parti tewas di tangan MCA.
Sebagai Setiausaha Agung DAP, Menteri Pengangkutan dan watak utama parti, Anthony bukan sekadar kehilangan sebuah kerusi DUN, sebaliknya kekalahan itu turut mengundang persoalan mengenai hala tuju DAP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Jika pemimpin paling berpengaruh dalam DAP sendiri boleh ditolak pengundi, bagaimana pula nasib tokoh-tokoh lain seperti Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo, Hannah Yeoh, Nga Kor Ming, Steven Sim, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman?
Apa yang lebih menarik ialah tindakan Anthony tidak mengambil masa lama untuk mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan. Tindakan beliau itu menimbulkan persoalan, siapa yang terbaik mampu menggalas tanggungjawab beliau untuk merampas kemenangan di Negeri Sembilan selepas ini?
Walaupun Anthony masih kekal sebagai Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, namun keputusan itu memberi isyarat parti kini sedang memasuki fasa yang cukup mencabar.
Hakikatnya, isu yang lebih besar bukan lagi mengenai kekalahan di DUN Chennah. Sebaliknya, tumpuan kini beralih kepada Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos ini, dijangka menjadi medan paling penting dalam menentukan hala tuju parti sama ada terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau mengambil keputusan sebaliknya.
Keputusan itu bukan sekadar memberi kesan kepada DAP, malah mampu mengubah landskap politik negara.
Ini kerana DAP bukan sekadar sebuah parti komponen dalam kerajaan, sebaliknya antara tonggak utama pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan 40 ahli Parlimen, DAP memainkan peranan penting dalam memastikan Kerajaan Perpaduan memiliki majoriti selesa di Dewan Rakyat.
Justeru, jika persidangan itu memutuskan parti perlu keluar daripada Kabinet, persoalannya, sanggupkah semua menteri dan timbalan menteri DAP melepaskan jawatan dalam Kabinet?
Keputusan itu bukan suatu yang boleh dipandang ringan.
Ketika ini, DAP mempunyai beberapa wakil dalam Kabinet yang memegang portfolio penting, antaranya Anthony sebagai Menteri Pengangkutan, Gobind (Menteri Digital), Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Hannah (Menteri Wilayah) serta Steven (Menteri Sumber Manusia).
Sekiranya parti memutuskan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan, sudah tentu tumpuan akan terarah kepada pendirian mereka.
Adakah mereka akan akur kepada keputusan parti dengan mengosongkan jawatan dalam Kabinet atau memilih untuk terus bersama kerajaan atas alasan kestabilan politik dan kepentingan pentadbiran negara?
Itulah persoalan yang bakal menjadi perhatian rakyat.
Secara dasar, walaupun DAP masih muncul sebagai parti paling banyak menyumbang kerusi kepada Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, kekalahan Anthony memberi tamparan besar dari sudut moral dan persepsi.
Lebih-lebih lagi apabila beliau mendakwa kempen sepanjang PRN dipenuhi serangan peribadi, fitnah serta pelbagai tuduhan yang menyasarkan dirinya.
Keadaan itu turut menghangatkan perbincangan mengenai hubungan antara PH dan Barisan Nasional (BN), apabila timbul dakwaan wujud percanggahan strategi di peringkat negeri walaupun kedua-duanya bersama dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Dalam politik, persepsi sering kali lebih berpengaruh daripada angka.
DILEMA
Walaupun Kerajaan Perpaduan masih mempunyai majoriti yang kukuh di Dewan Rakyat, namun keputusan yang bakal dibuat DAP pada 16 Ogos ini tetap akan diperhatikan dengan penuh teliti.
Bagi DAP, keputusan itu bukan sekadar menentukan kedudukan parti dalam kerajaan tetapi turut memberi bayangan mengenai strategi menghadapi PRU16.
Jika kekal bersama kerajaan, parti perlu meyakinkan penyokong yang keputusan tersebut mampu memberikan manfaat politik dan pentadbiran.
Jika memilih untuk keluar pula, kesan besar mungkin terpalit kepada Perdana Menteri, bukan hanya kepada DAP serta mencetuskan rombakan Kabinet yang mungkin sukar dielakkan.
Justeru, selepas episod Chennah, persoalan yang bermain di fikiran ramai bukan lagi mengenai Anthony semata-mata. Sebaliknya, tumpuan kini beralih kepada barisan menteri DAP.
Sekiranya Persidangan Kebangsaan DAP memutuskan parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan, adakah mereka sanggup melepaskan jawatan dalam Kabinet demi mematuhi keputusan parti?
Mungkin ia hanya akan diketahui selepas 16 Ogos, namun apa yang pasti, keputusan itu bakal menjadi antara detik paling penting dalam sejarah politik DAP sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Malah, perkembangan itu juga akan menjadi ujian terbesar terhadap Anwar dalam memberi keseimbangan supaya kerajaan kekal stabil sehingga tamat penggal.
Bagaimana cara Perdana Menteri ingin mengekalkan kestabilan, sama ada berharap DAP kekal dalam Kabinet atau ‘mengusir’ BN kerana menganggap parti itu seperti berteduh di bawah pokok tetapi mengasah kapak’?
Apa juga keputusan persidangan DAP nanti, satu perkara yang pasti, tumpuan bukan lagi terarah kepada Anthony semata-mata. Sebaliknya, seluruh barisan menteri DAP bakal menjadi perhatian.
Jika perwakilan memilih keluar daripada abinet, DAP mungkin dilihat bersih dan bebas dalam membuat keputusan untuk mengkritik kerajaan, jika perwakilan memilih keluar daripada Kabinet.
Tindakan mereka juga mungkin menjadi strategi untuk menarik kembali pengundi Cina, sekali gus mengekalkan jumlah kerusi di Dewan Rakyat. -UTUSAN
Itu lebih utama. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.
The post Sanggupkah menteri DAP lepaskan jawatan Kabinet? appeared first on Utusan Malaysia.






