Sanum, Abot ambil masa tiga jam pujuk Awang Kolam

LocalEnvironment
16 Sep 2026 • 12:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from:  Sanum, Abot ambil masa tiga jam pujuk Awang Kolam

HULU TERENGGANU: Dua gajah denak betina dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang, Sanum dan Abot mengambil masa untuk memujuk gajah jantan yang diberi nama ‘Awang Kolam’ sebelum dapat dibawa keluar dari Kampung Kolam, Ajil, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, proses yang bermula pukul 9 pagi bagi memujuk gajah itu mengambil masa kerana faktor keselamatan anggota operasi dan penduduk setempat perlu diberi keutamaan.

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan proses tangkapan dan pemindahan gajah liar berkenaan berjalan lancar serta tidak membahayakan orang awam.

“Bila melibatkan gajah liar, kita perlu mengambil kira kawasan yang menjadi habitat atau lingkungan gajah berkenaan. Kita juga perlu mengambil kira faktor keselamatan anggota serta penduduk dan orang awam di kawasan ini. Sebab itu proses memujuk perlu dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya kepada media di sini.

Menurutnya, operasi yang melibatkan kira-kira 24 anggota daripada Perhilitan Terengganu, PKGK Kuala Gandah dan Pusat Santuari Gajah Johor  (Jes) itu bermula pukul 9 pagi dan selesai kira-kira 12 tengah hari.

“Dalam proses ini, usaha membawa keluar gajah dari kawasan berkenaan berjalan lancar dan gajah jantan ini dapat dinaikkan ke dalam lori. Kita dijangka dapat melakukan pelepasan di lokasi yang ditetapkan pada petang atau malam ini di Hutan Simpan Royal Belum, Perak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10 operasi tangkap dan pindah gajah yang terlibat dalam konflik dengan manusia dilaksanakan Perhilitan Terengganu sepanjang tahun ini.

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko konflik gajah liar dengan manusia selain melindungi harta benda dan aset penduduk.

“Tujuan kita menjalankan operasi ini adalah untuk melindungi harta benda dan aset orang awam. Pada masa sama, sekiranya kehadiran gajah menimbulkan isu keselamatan kepada penduduk awam, kita akan mengambil tindakan termasuk memindahkan gajah berkenaan,” katanya. – UTUSAN

The post  Sanum, Abot ambil masa tiga jam pujuk Awang Kolam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved