Sanum, Abot ambil masa tiga jam pujuk Awang Kolam pindah

Environment
16 Sep 2026 • 1:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sanum, Abot ambil masa tiga jam pujuk Awang Kolam pindah
Anggota Perhilitan dibantu oleh Sanum dan Abot berjaya mberjaya memujuk seekor gajah dalam operasi pemindahan di Kampung Kolam, Ajil pada Rabu.
Image from: Sanum, Abot ambil masa tiga jam pujuk Awang Kolam pindah
Sanum dan Abot berjaya menaikkan gajah jantan liar dinamakan Awang Kolam ke atas lori dalam operasi pemindahan di Kampung Kolam, Ajil pada Rabu.

​HULU TERENGGANU – Dua ekor gajah denak betina berjaya memujuk Awang Kolam bagi membolehkan gajah liar jantan itu dipindahkan sebelum dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum, Perak.

​Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, dua gajah denak betina yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang iaitu Sanum dan Abot digunakan untuk menenangkan serta memujuk gajah jantan berkenaan.

​Menurutnya, operasi bermula jam 9 pagi itu melibatkan lebih 24 kakitangan Perhilitan termasuk dari PKGK Kuala Gandah dan Pusat Santuari Gajah Johor (JES).

​"Proses memujuk gajah berkenaan mengambil masa agak lama disebabkan beberapa faktor termasuk cuaca, keadaan persekitaran serta keselamatan anggota.

​"Bagaimanapun, proses penarikan keluar berjalan lancar dan gajah jantan itu berjaya dinaikkan ke dalam lori sekitar jam 11.30 pagi untuk dibawa ke lokasi pelepasan," katanya selepas operasi pemindahan gajah liar berkenaan di Kampung Kolam, Ajil di sini pada Rabu.

**media[3649217]**

​Mengulas lanjut, Dennis memberitahu, Perhilitan menerima aduan berhubung kehadiran gajah liar itu pada 10 September lalu sebelum haiwan tersebut berjaya ditangkap pada keesokan harinya.

​Tambah beliau, Awang Kolam yang mempunyai ukuran tapak kaki sebesar 15 inci itu kini berada dalam keadaan sihat dan stabil.

​"Bermula 1 Januari hingga hari ini, Perhilitan Terengganu telah melaksanakan 10 operasi pemindahan gajah liar di seluruh negeri yang melibatkan kos lebih RM60,000 bagi satu operasi.

​"Kerja-kerja pemindahan terpaksa dilakukan bagi melindungi harta benda dan keselamatan orang awam yang berdepan risiko apabila gajah masuk ke kawasan penempatan atau kebun," katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal serta menyuraikan orang ramai yang berkumpul di lokasi operasi sejak awal pagi.

​Sebelum ini pada Ogos lalu, kemunculan seekor gajah betina dinamakan 'Mek Jeram' turut menggemparkan penduduk di Kampung Jeram, Manir sebelum ia berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved