
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan beliau akan mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada tiga lagi individu termasuk Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, dua lagi individu ialah bekas wakil rakyat, Marina Ibrahim dan seorang pengguna media sosial, Salim Abdul Rahman.
Katanya, terdahulu beliau menghantar LOD kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan atas dakwaan menokok tambah dan memesongkan fakta ketika mengulas satu ceramahnya di Negeri Sembilan sebelum ini.
“Saya sudah menghantar LOD kepada Dr Sathia, saya sudah maklum dalam Facebook saya. Saya juga hantar LOD kepada Nga Kor Ming yang akan diserahkan hari ini, kepada Marina Ibrahim serah esok.
“Satu lagi Salim, dia ini banyak tokok tambah, jadi LOD ini akan diuruskan oleh peguam, siap sudah. Kalau tak serah hari ini akan serah esok lah. Tiga itu sahaja. Saya serah kepada peguam saya,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, LOD tersebut antaranya menuntut permohonan maaf daripada kesemua individu berkenaan dalam tempoh tiga hari.
Sementara itu, kata beliau, pihak polis sudah merekodkan kenyataannya di sini pada Ahad lalu dengan proses itu berlangsung dalam tempoh yang singkat dan lancar.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, polis akan menghantar pegawai bagi mengambil keterangan Muhammad Sanusi berhubung kenyataan didakwa menyentuh isu perkauman ketika berkempen di Jempol, Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE
The post Sanusi hantar LOD kepada tiga lagi individu appeared first on Kosmo Digital.






