
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menyerahkan kepada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk membuat keputusan sama ada mahu menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau sebaliknya.
“Setakat ini belum ada perbincangan terperinci lagi (Jalaluddin) dan beliau juga Ahli Parlimen dan ADUN. Jadi terpulang kepada pendirian beliau (menganggotai barisan Exco),” katanya ketika diminta mengulas mengenai pendirian Jalaluddin yang dikatakan tidak akan menawarkan diri sebagai Exco.
Semalam, Kosmo! melaporkan Jalaluddin tidak akan menawarkan diri untuk menganggotai barisan Exco baharu, sebaliknya memberi peluang kepada calon lain selain menyatakan pelantikan barisan tersebut merupakan hak prerogatif Menteri Besar.
“Saya berlapang dada. Saya bukan baru sehari dalam politik. Saya tidak tamak kuasa. Banyak lagi tugas menanti untuk memenuhi manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat dan memperbaiki kelemahan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menegaskan pelantikannya dibuat mengikut tatacara yang betul, susulan dakwaan wujud campur tangan pihak luar dalam proses berkenaan.
Terdahulu, Pengerusi Wawasan, Tan Sri Mohd Rais Yatim dilaporkan mempersoalkan proses pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, termasuk mendakwa terdapat campur tangan daripada pihak luar dalam urusan adat serta Perlembagaan negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Terpulang kepada pendirian Jalaluddin – Ismail Lasim appeared first on Kosmo Digital.





