
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.09 juta berhubung kelulusan permohonan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Bagaimanapun Saravanan, 58, yang juga Timbalan Presiden MIC itu mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.
“Tidak mengaku bersalah,” kata Saravanan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn. Bhd. Tan Teck Lim, 65,.
Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn. Bhd.
Suapan-suapan itu diterima menerusi seorang individu yang mana ia sebagai dorongan dan upah untuk tertuduh sebagai Menteri Sumber Manusia (ketika itu) memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn. Bhd.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bukit Jalil Golf & Country Resorts, Jalan Telawi Bangsar dan sebuah cawangan bank di Jalan Klang Lama, di sini pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Bagi ketiga-tiga kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
Semalam, media melaporkan Saravanan mengesahkan beliau bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini.
Ahli Parlimen Tapah itu mendakwa beliau akan menghadapi pertuduhan berpunca daripada kenyataan pihak ketiga yang mengaitkannya dengan isu pengambilan pekerja asing ketika tempoh pandemik Covid-19 pada 2022.
Beliau mendakwa kenyataan awal yang mengaitkan namanya dibuat seorang individu yang meninggal dunia dua bulan lepas sebelum individu terbabit membuat Akuan Berkanun untuk menarik balik dakwaan berkenaan.
“Saya tegaskan bahawa saya tidak pernah berhubung atau mengenali individu berkenaan sama ada menerusi telefon mahupun perkhidmatan pesanan ringkas. Walaupun saksi utama telah meninggal dunia, saya tetap bersedia untuk mempertahankan diri dan menghadapi pertuduhan ini mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi hantaran video yang dikongsikan kepada media.
Saravanan berkata pasukan peguamnya akan memohon kepada mahkamah agar perbicaraan kes itu dipercepat tanpa sebarang penangguhan. – KOSMO! ONLINE
The post Saravanan nafi terima rasuah RM1.09 juta kelulusan kuota pekerja asing appeared first on Kosmo Digital.






