hamden02/11/2026 - 11:06 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Sarawak Energy memperkenalkan bot elektrik bersepadu solar, ‘Seri Batang Ai’ yang mampu beroperasi sejauh 50 kilometer dengan tempoh perjalanan sehingga empat jam, sekali gus menandakan perkembangan baharu penggunaan teknologi tenaga bersih dalam sektor pengangkutan marin.
Bot sepanjang 10 meter itu dilengkapi dua motor sangkut elektrik berkuasa 40 kilowatt (kW) setiap satu, dengan output gabungan 80kW, selain disokong sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 92 kilowatt-jam (kWh) dan panel solar atas bumbung berkapasiti 3.6 kilowatt-puncak (kWp).
Menurut Sarawak Energy, bot berkenaan mempunyai jarak operasi dianggarkan antara 40 hingga 50 kilometer, tempoh operasi tiga hingga empat jam serta kelajuan maksimum 25 kilometer sejam (km/j).
"Keistimewaan utama bot itu ialah sistem pendorong elektriknya yang tidak menghasilkan pelepasan asap secara langsung, selain mengurangkan bunyi bising dan getaran ketika beroperasi.
"Ciri berkenaan membantu meminimumkan gangguan terhadap persekitaran dan biodiversiti di kawasan takungan, sekali gus menjadikan bot itu sesuai digunakan untuk aktiviti operasi di kawasan empangan serta pengangkutan penumpang," katanya dalam kenyataan.

Direka oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman Sarawak Energy, bot berkenaan mampu menampung sehingga 12 penumpang.
Sokong operasi di Loji Hidroelektrik Batang Ai
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, pembangunan ‘Seri Batang Ai’ meneruskan inisiatif e-Penambang syarikat sebelum ini, sekali gus memperlihatkan perkembangan daripada kerja pengubahsuaian bot konvensional kepada pembangunan bot kerja elektrik yang direka khusus.
Katanya, bot itu menyediakan platform kepada syarikat untuk terus mengembangkan keupayaan R&D, memperkukuh kepakaran kejuruteraan tempatan serta meneroka aplikasi lebih meluas bagi tenaga bersih dan teknologi marin.
Usaha itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta memajukan penyelesaian mobiliti mampan.
‘Seri Batang Ai’ akan digunakan bagi menyokong operasi di Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai, termasuk pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar dan pengangkutan kakitangan merentasi kawasan takungan.
Selain menyokong keperluan operasi loji hidroelektrik itu, bot berkenaan turut digunakan untuk membawa pengunjung.
Bot elektrik solar itu dinamakan secara rasmi dalam satu majlis di Pangkalan Sapi semalam, bersempena Regata Sarawak 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. - DagangNews.com





