johardy12/11/2026 - 09:50 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang meneroka kerjasama dengan pelabur asing dan pengeluar tenaga bebas (IPP) bagi membiayai pengembangan kapasiti penjanaan elektrik negeri itu yang menyasarkan 10 gigawatt (GW) menjelang 2030.
Naib Presiden Kanan Strategi dan Pembangunan Korporat SEB, Dr Chen Shiun berkata, semua projek yang diperlukan untuk mencapai sasaran 10GW itu sudah tersedia atau sedang dilaksanakan, dengan tempoh empat tahun lagi sebelum 2030.
Beliau berkata, kapasiti tersebut dijangka menyediakan bekalan elektrik yang diperlukan bagi menyokong lonjakan pelaburan ke Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bagaimanapun, aspirasi ekonomi jangka panjang negeri itu memerlukan peningkatan kapasiti penjanaan elektrik melangkaui sasaran 10GW, selain pembangunan rangkaian penghantaran dan sistem sokongan berkaitan.
Menurut Chen, SEB sedang meneroka kerjasama pembiayaan baharu, termasuk penyertaan IPP yang membolehkan pelabur asing membiayai sebahagian besar perbelanjaan modal bagi memperluas kapasiti penjanaan elektrik Sarawak.
"Pada masa sama, kami turut meneliti bentuk kerjasama lain, khususnya ketika projek pembangunan kini datang bertali arus," katanya.
Program sukuk meningkat dua kali ganda kepada RM30 bilion
SEB telah memperluas keupayaan pembiayaannya bagi menyokong keperluan infrastruktur yang semakin meningkat, dengan saiz program sukuk syarikat dinaikkan daripada RM15 bilion kepada RM30 bilion pada tahun lalu.
Chen berkata, syarikat utiliti itu akan meneruskan program sukuk berkenaan sambil meneroka kerjasama pembiayaan lain bagi memenuhi keperluan pembangunan yang semakin pesat.
Pengembangan itu mencerminkan transformasi SEB daripada sebuah penyedia elektrik berskala kecil kepada syarikat utiliti utama yang menyokong pembangunan perindustrian Sarawak.
Pada 2008 dan 2009, SEB hanya mempunyai kapasiti penjanaan kira-kira 1,000 megawatt (MW), yang sebahagian besarnya digunakan untuk membekalkan elektrik kepada isi rumah serta pengguna komersial dan industri.
Kini, kapasiti penjanaannya melebihi 6,000MW, dengan permintaan elektrik melangkaui 5,000MW, manakala pendapatan syarikat meningkat lebih 10 kali ganda berbanding tempoh tersebut.
Chen berkata, skala pelaburan masa depan memerlukan pendekatan pembiayaan yang mengambil kira sifat pembangunan infrastruktur tenaga yang memerlukan komitmen jangka panjang.
"Pelaburan dalam projek peralihan tenaga adalah seperti perlumbaan maraton, bukannya pecutan jarak dekat," katanya.

SEB ubah strategi susulan lonjakan permintaan industri
SEB turut mengubah pendekatan perancangan dan pembangunan infrastruktur elektrik dengan beralih daripada kaedah tradisional yang menyediakan kapasiti terlebih dahulu sebelum mendapatkan pelanggan.
Chen berkata, perkembangan pesat industri digital dan ekonomi hijau menyebabkan syarikat utiliti tidak lagi boleh bergantung kepada model pembangunan konvensional, mengambil kira skala serta kepantasan pelaburan baharu.
Beliau menjelaskan, pendekatan lama yang membangunkan infrastruktur terlebih dahulu sebelum menunggu pelanggan mendapatkan bekalan elektrik tidak lagi sesuai dengan keperluan pembangunan semasa.
Melalui pendekatan baharu itu, SEB akan mengadakan libat urus lebih awal dengan pemain industri, kerajaan dan pembuat dasar bagi menyelaraskan perancangan infrastruktur dengan keperluan pelaburan yang dijangka.
"Apa yang kita lakukan sekarang ialah mengambil pendekatan lebih kolaboratif, bukan sahaja dalam kalangan pemain industri, tetapi juga bersama kerajaan dan pembuat dasar.
"Kita perlu duduk semeja, mengadakan libat urus awal dan melaksanakan perancangan bersepadu untuk melihat bagaimana infrastruktur yang diperlukan dapat dibangunkan secara bersama," katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut akan membantu memastikan kemudahan penjanaan elektrik, rangkaian penghantaran dan sistem berkaitan dibangunkan seiring dengan pengembangan sektor perindustrian Sarawak.
Chen menambah, mengenal pasti projek yang berdaya maju dari sudut teknikal hanyalah sebahagian daripada cabaran, kerana struktur pembiayaan yang bersesuaian juga penting bagi memastikan pelaburan dapat dilaksanakan.
Beliau berkata demikian ketika sesi panel Financing the Transition sempena program Powering Forward: Financing Sarawak’s Industrial Transition anjuran Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) dengan kerjasama Standard Chartered Malaysia dan InvestSarawak di Kuala Lumpur pada Selasa. - DagangNews.com





