Bioeconomy Corporation, Pusat Rawatan Pakar Normah teroka perubatan regeneratif di Sarawak

LocalHealth & Fitness
13 Aug 2026 • 10:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bioeconomy Corporation, Pusat Rawatan Pakar Normah teroka perubatan regeneratif di Sarawak Image from: Bioeconomy Corporation, Pusat Rawatan Pakar Normah teroka perubatan regeneratif di Sarawak johardy13/08/2026 - 10:42 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Malaysian Bioeconomy Development Corporation dan Sarawak Medical Centre menjalin kerjasama bagi meneroka potensi perubatan regeneratif serta inovasi penjagaan kesihatan di Sarawak, ketika negeri itu berdepan peningkatan populasi menua dan pertumbuhan pelancongan kesihatan.

 

Sarawak Medical Centre yang memiliki dan mengendalikan Pusat Rawatan Pakar Normah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bioeconomy Corporation bagi meneroka penggunaan teknologi baharu dalam rawatan dan penjagaan pesakit.

 

Antara bidang yang akan diteroka ialah perubatan regeneratif, diagnostik presisi, peranti perubatan dan perubatan komplementari, selain penyelesaian penjagaan kesihatan berasaskan bio yang dibangunkan oleh syarikat tempatan.

 

Kerjasama itu dijangka membuka ruang kepada teknologi penjagaan kesihatan tempatan untuk dinilai dari sudut kesesuaian klinikal sebelum berpotensi digunakan dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar.


 

solar
Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan CEO/Pengarah Urusan Normah Medical Specialist Centre, Dr. Au Yong Kien Hoe memeterai MoU di Kuching pada 12 Ogos 2026.

 


Bioeconomy Corporation yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengenal pasti teknologi dan penyelesaian sesuai daripada syarikat portfolionya serta ekosistem bioteknologi negara untuk diperkenalkan kepada Normah Medical.

 

Sarawak Medical Centre pula merupakan anak syarikat milik penuh Sarawak State Financial Secretary Incorporated, sekali gus menjadikannya entiti penjagaan kesihatan milik Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Sarawak catat lebih 104,000 pelancong kesihatan

Kerjasama itu dilaksanakan ketika keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin meningkat susulan perubahan demografi Sarawak.

 

Sarawak mencatatkan 9.7% penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, peratusan kedua tertinggi dalam kalangan 12 negeri yang dikategorikan sebagai negeri menua.

 

Pada masa sama, Sarawak menerima lebih 104,000 pelancong kesihatan pada 2025 dengan hasil RM203 juta, meningkat 27% berbanding tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata perkembangan itu memberi peluang kepada Sarawak untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau.

 

“Ketika populasi Sarawak semakin menua dan sektor pelancongan kesihatan terus berkembang, terdapat peluang yang jelas untuk membawa inovasi yang bersesuaian lebih dekat kepada pesakit.

 

“Cabaran yang dihadapi bukan sekadar membangunkan teknologi penjagaan kesihatan baharu, tetapi memastikan inovasi tersebut dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang boleh dimanfaatkan secara berkesan dalam persekitaran klinikal,” katanya.

 

Beliau berkata MoU itu menyediakan platform untuk menghubungkan ekosistem bioteknologi Malaysia dengan penyedia penjagaan kesihatan, termasuk meneroka bagaimana perubatan regeneratif dan diagnostik jitu dapat menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini.

 

Teknologi BioNexus, BBA bakal dinilai untuk kegunaan klinikal

Susulan MoU berkenaan, Bioeconomy Corporation akan bekerjasama dengan syarikat berstatus BioNexus dan syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA) bagi mengenal pasti teknologi serta penyelesaian penjagaan kesihatan yang bersesuaian dan berpotensi dibangunkan menerusi kerjasama dengan Normah Medical.

 

Normah Medical pula akan menyediakan perspektif dan kepakaran klinikal bagi menilai kesesuaian teknologi tersebut, termasuk menyediakan akses kepada kemudahan berkaitan apabila diperlukan.

 

Kerjasama itu juga dijangka memberi peluang kepada profesional penjagaan kesihatan Normah Medical untuk meneroka teknologi terkini dan menilai potensi penggunaannya dalam rawatan.

 

Pesakit pula berpotensi mendapat manfaat daripada inovasi yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti penjagaan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan.

 

Inisiatif tersebut selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah MOSTI yang antara lain memberi tumpuan kepada mempercepat pengkomersialan bioteknologi, memperkukuh kerjasama antara industri dan sektor penjagaan kesihatan serta membawa inovasi bioteknologi Malaysia kepada aplikasi penjagaan kesihatan sebenar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved