liza19/10/2026 - 17:01 Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM469.1 juta bagi meneruskan diskaun bil elektrik sebanyak 25% kepada pengguna domestik sehingga Disember 2027 sebagai langkah mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah di negeri itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada 716,000 pengguna menerusi peruntukan RM188.1 juta bagi tempoh April hingga Disember tahun ini.
“Program ini akan diteruskan sepanjang 2027 dengan peruntukan RM218 juta untuk membolehkan pengguna domestik terus menikmati pengurangan kos bil elektrik,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Pada April lalu, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan siskaun 25 peratus bagi bil elektrik domestik yang diberikan secara automatik tanpa perlu sebarang pendaftaran atau permohonan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pengguna tarif domestik akan menikmati diskaun tersebut sehingga Disember tahun ini, namun pada persidangan terbaharu DUN Sarawak, kerajaan negeri memaklumkan program itu akan diteruskan sehingga Disember 2027.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Sarawak nikmati diskaun 25% serta-merta, hanya dipaparkan pada bil mulai Jun 2026
Rebat bil air RM5 diteruskan pada 2027
Selain bantuan bil elektrik, kerajaan negeri turut meneruskan inisiatif rebat bil air sebanyak RM5 untuk pengguna domestik, yang melibatkan perbelanjaan terkumpul RM222.7 juta sejak 2020.
Julaihi berkata, sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif itu pada 2027 dengan anggaran 600,000 pengguna bakal menerima manfaat.
Langkah berkenaan melengkapi usaha kerajaan negeri mengurangkan kos utiliti isi rumah, di samping memperluas akses kepada kemudahan bekalan air di kawasan bandar dan luar bandar.
Liputan bekalan air Sarawak capai 86.1%
Dalam perkembangan berkaitan, liputan bekalan air di Sarawak meningkat 0.5 mata peratusan berbanding tahun lalu kepada 86.1%, manakala liputan di kawasan luar bandar mencapai 72% setakat tahun ini.
Bagi meningkatkan tahap perkhidmatan itu, kerajaan negeri sedang menaik taraf 32 loji rawatan air utama serta rangkaian paip bekalan air sepanjang 2,934 kilometer (km) di seluruh Sarawak.
Daripada jumlah itu, sebanyak 10 loji rawatan air bersama rangkaian paip sepanjang 561km telah siap, manakala baki 22 projek yang melibatkan 2,372km masih dalam pelaksanaan.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan negeri memperuntukkan RM6.46 bilion bagi melaksanakan 361 projek bekalan air menerusi kaedah pembiayaan alternatif. Sebanyak 338 projek telah siap, manakala RM662.7 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pada tahun ini. - DagangNews.com






