
Kota Kinabalu: Seorang sarjan polis didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah cuba mendapatkan wang tunai RM2,000 daripada seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah tegar.
Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A Dadi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zakaria Mohd Jasni, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan selepas surat representasi diterima pada Rabu.
Zakaria didakwa cuba mendapatkan wang berkenaan yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik seorang individu bernama Nidi Anak Semilan daripada lelaki yang dipercayai mempunyai rekod sebagai penagih dadah tegar di Kudat.
Pertuduhan menyatakan Zakaria mengetahui tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 12.20 tengah hari, 18 Jun 2021 di Fook Soon Seafood Product Sdn Bhd, Kudat.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Luke Ressa Balang memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga orang anak yang perlu ditanggung serta telah menyesali perbuatannya.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan.






