KUALA TERENGGANU - Syarikat Air Terengganu (SATU) memberi jaminan bekalan air di seluruh negeri mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, pihaknya telah membuat persiapan lebih awal bagi memastikan bekalan air berjalan lancar termasuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan luar jangka.
Menurut beliau, SATU kini berada pada tahap kesiapsiagaan sehingga 110 peratus bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak berdepan masalah bekalan air ketika musim perayaan.
"Bagi sambutan Hari Raya tahun ini kita telah bersedia sepenuhnya.
"Kita juga menjangkakan gangguan minimum seperti kes paip pecah atau kerosakan teknikal lain kerana langkah pencegahan telah diambil lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Media di Hotel Permai di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Karim memberitahu, SATU turut meneruskan pelbagai usaha menaik taraf serta menggantikan aset lama sepanjang tahun 2025 bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di negeri berkenaan.
Jelas beliau, setakat ini sebanyak 11 kampung di Terengganu telah menikmati penambahbaikan sistem agihan air ke rumah yang dilaksanakan sebelum ini.
"Satu projek menaik taraf sistem bekalan air bernilai kira-kira RM10 juta telah dilaksanakan melibatkan kawasan di daerah Kuala Terengganu dan Marang.
"Projek ini dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri manakala beberapa projek lain turut dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman syarikat," ujarnya.
Tambah beliau, peruntukan dalaman tersebut menggunakan sebahagian besar pendapatan RM225 juta yang diperoleh pada tahun lalu.
Jelasnya, melalui pendapatan yang diperolehi daripada Pelarasan Tarif Air pada Ogos tahun lalu, sebahagian besar dana digunakan semula untuk manfaat pengguna melalui pelaksanaan projek bekalan air.
"Ini termasuk sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bentuk bantuan pendidikan, komuniti, sukan, keagamaan dan alam sekitar. Jadi kita pulangkan semula untuk manfaat pengguna," katanya.
Ujar beliau, dengan pelbagai langkah penambahbaikan yang dilaksanakan, pihaknya yakin sambutan Aidilfitri tahun ini dapat diraikan dalam keadaan lebih bersedia tanpa gangguan bekalan air yang ketara di seluruh negeri.
-ENDS-




