Satu mata memisahkan emas, Thiagu bangga pencapaian skuad kabaddi Selangor

18 Aug 2026 • 9:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Satu mata memisahkan emas, Thiagu bangga pencapaian skuad kabaddi Selangor

SUBANG JAYA, 18 OGOS: Hanya satu mata memisahkan skuad kabaddi lelaki Selangor daripada pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, namun kejayaan pasukan wanita merangkul emas sedikit sebanyak melengkapkan pencapaian skuad negeri pada temasya kali ini.

Dalam aksi final acara lelaki di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, petang tadi, Selangor memberikan saingan sengit kepada Kedah sebelum beberapa kesilapan kecil pada penghujung perlawanan menyaksikan mereka terlepas emas dan membawa pulang pingat perak.

Jurulatih Selangor, S Thiagu berkata anak buahnya sudah memberikan komitmen terbaik sepanjang perlawanan, namun tekanan pada penghujung permainan menyebabkan mereka kehilangan mata penting.

Image from: Satu mata memisahkan emas, Thiagu bangga pencapaian skuad kabaddi Selangor
Jurulatih skuad kabaddi Selangor, S Thiagu ketika ditemui selepas tamat aksi final acara kabaddi lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, pada 18 Ogos 2026. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

“Memang sakit hati jugalah sebab (perbezaan) satu mata, kita hilang pingat emas. Tetapi untuk pasukan wanita kita ucap tahniah sebab mereka melakukan apa yang kita suruh.

“Pasukan lelaki pun dengar (arahan) tetapi situasi perlawanan menyebabkan mereka sedikit tertekan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Thiagu berkata kejayaan skuad wanita merangkul emas membuktikan usaha pasukan kabaddi Selangor tetap membuahkan hasil, apatah lagi kedua-dua skuad turut membawa pulang pingat perak pada SUKMA 2024 di Sarawak.

Image from: Satu mata memisahkan emas, Thiagu bangga pencapaian skuad kabaddi Selangor
Skuad kabaddi lelaki Selangor bergambar bersama pingat perak selepas majlis penyampaian hadiah bagi aksi final menentang Kedah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, Kajang, pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

“Dalam edisi 2024 pun dua-dua pasukan dapat pingat perak, kalah satu mata juga. Tapi kali ini satu pasukan berjaya dapat emas.

“Untuk akan datang, kita akan mula latihan awal dan cari pemain baharu untuk menggantikan beberapa pemain yang sudah melepasi had umur,” katanya.

Image from: Satu mata memisahkan emas, Thiagu bangga pencapaian skuad kabaddi Selangor
Ketua Kontinjen SUKMA Selangor Abbas Azmi ketika program Bicara Semasa di Media Selangor pada 6 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Azmi berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan skuad kabaddi yang berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu perak.

“Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan skuad kabaddi Selangor yang berjaya mara ke perlawanan akhir dan kita dapat satu pingat emas serta satu perak,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Satu mata memisahkan emas, Thiagu bangga pencapaian skuad kabaddi Selangor
Aksi sengit pasukan kabaddi lelaki Selangor ketika menentang Kedah dalam perlawanan akhir acara kabaddi lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, sumbangan pingat emas skuad wanita turut membantu Selangor mengumpul 22 pingat emas setakat petang ini, dengan satu lagi acara masih menunggu keputusan.

“Kalau kita tengok, perolehan pingat emas pada petang ini untuk Selangor telah mencapai sebanyak 22 pingat emas dan sedang menunggu keputusan satu lagi acara. Jadi, jika tiada apa-apa, kita menamatkan acara hari ini dengan jumlah 22 emas, lebih banyak daripada semalam,” katanya.

Thiagu berkata pengalaman skuad lelaki pada final kali ini akan dijadikan bekalan untuk memperkemas persiapan dan memburu sasaran dua pingat emas pada edisi SUKMA akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved