
SUBANG JAYA: Atlet menembak Perak, Nazirul Iqbal Roszaini membuktikan dirinya berada pada kelas tersendiri apabila memecahkan rekod temasya untuk menghadiahkan emas dalam acara 10 meter (m) air rifle lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sebentar tadi.
Turun dengan misi menebus kekecewaan selepas hanya meraih gangsa di SUKMA Sarawak dua tahun lalu, Nazirul tampil tenang sebelum mengumpul 245.9 mata untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas di Lapang Sasar Negara Subang.
Lebih istimewa, catatan berkenaan turut menyaksikan Nazirul memadam rekod kejohanan 242.5 mata yang dilakukan atlet Selangor, Haritz Iklil Hessly Hafiz pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Atlet Sarawak, Rizki Razain Mohammad Isti Syahran terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 240.2 mata, manakala Muhd Iman Syahmi Mohd Azidi dari Pahang membawa pulang gangsa dengan 218.6 mata.
Nazirul, 18, berkata kejayaan itu hadir hasil persiapan rapi termasuk latihan antara empat hingga lima jam sehari bagi memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik.
Pemilihan menyertai skuad kebangsaan sejak Februari 2025 turut meningkatkan keyakinan Nazirul untuk berdepan tekanan pertandingan, sekali gus menjadi pembakar semangatnya untuk memburu lebih banyak kejayaan.
Nazirul bagaimanapun tidak mahu berhenti setakat satu emas apabila menyasarkan tiga lagi kejuaraan dalam acara prone, 50m rifle tiga posisi dan acara campuran pada temasya kali ini.-UTUSAN
The post Iqbal lebur rekod, buru tiga lagi emas appeared first on Utusan Malaysia.






