Tiada PRK selepas Parlimen Subang dikosongkan

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada PRK selepas Parlimen Subang dikosongkan

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Subang tidak akan diadakan susulan peletakan jawatan penyandangnya, Wong Chen berlaku selepas tempoh tiga tahun penggal Parlimen.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ia sejajar dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen.

Katanya, Wong Chen meletakkan jawatan selepas tempoh tiga tahun penggal Parlimen.

“Tak ada keperluan buat PRK. Betul (sudah lebih tiga tahun),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Subang, susulan peletakan jawatan yang dikemukakan oleh Wong Chen, kelmarin.

Sebelum ini, Wong Chen berkata, notis peletakan jawatan telah disampaikan kepada Johari.

Notis dengan cop pengesahan diterima Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dikongsikan Wong Chen melalui Facebooknya semalam.

Katanya, beliau telah berjumpa dengan Johari pada 5 Ogos lalu bagi menyerahkan surat peletakan jawatan.

Beliau turut memaklumkan, akan mengadakan sidang akhbar hari ini tetapi lokasinya tidak didedahkan setakat berita ini ditulis.

Wong Chen yang dilihat sebagai sekutu rapat bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan seluruh warga Parlimen Malaysia.

Wong Chen merupakan antara lima ahli Parlimen PKR yang menyuarakan kekecewaan berhubung sekatan akses kepada portal MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Empat lagi pimpinan ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Sebelum ini, Mohd. Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mele­takkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa berkuat kuasa pada 18 Mei lalu, sebelum meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Mohd. Rafizi merupakan bekas Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi ialah bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. – UTUSAN

The post Tiada PRK selepas Parlimen Subang dikosongkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved