Saya bukan bujang atau duda, janganlah doakan ke arah itu – Nafiz Muaz

EntertainmentLifestyle
20 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya bukan bujang atau duda, janganlah doakan ke arah itu – Nafiz Muaz

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nafiz Muaz menegaskan dirinya masih berstatus suami sekali gus menepis spekulasi segelintir pihak yang menyangka dia kini bujang atau sudah bergelar duda.

Menurut Nafiz, kekeliruan itu timbul kerana dia sangat menjaga privasi keluarga dan tidak berkongsi secara terbuka mengenai kehidupan peribadi di media sosial.

“Saya rasa disebabkan saya langsung tidak berkongsi atau mengemas kini apa-apa, mungkin itu yang menyebabkan macam-macam andaian dibuat.

“Gambar Hari Raya pun saya tidak muat naik. Tetapi tidak semestinya kalau kita beraya bersama, semuanya perlu dikongsikan. Kadang-kadang perkara itu adalah kehidupan peribadi.

“Saya sendiri pun tidak berkongsi mengenai diri, apatah lagi keluarga. Ada yang kata saya bujang, ada juga yang kata saya duda. Sampai begitu sekali. Saya bukan bujang dan saya belum duda lagi.

“Kalau boleh, janganlah mendoakan ke arah itu. Kalau suatu hari nanti saya menjadi jodoh tidak panjang sekalipun, semua orang akan tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pelakon drama Doa ayang Terlindung itu menegaskan sejak awal mendirikan rumah tangga, dia sudah mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan keluarga kepada umum.

“Sejak awal ketika berkahwin dan mempunyai anak, saya memang tidak banyak berkongsi dengan media. Saya cuba memastikan kehidupan peribadi kekal peribadi.

“Saya pernah beritahu isteri bahawa kerja adalah kerja. Pekerjaan saya tidak perlu melibatkan kehidupan kami, termasuk dia dan anak.

“Saya tidak mahu orang mengenali anak saya dan tidak mahu orang tahu bagaimana keadaan rumah tangga saya, sama ada baik atau tidak. Itu saya sahaja yang tahu.

“Ketika bahagia pun saya tidak pernah berkongsi. Kalau mempunyai masalah sekalipun, saya juga tidak akan berkongsi kerana tidak mahu perkara peribadi memberi kesan kepada kerjaya saya sebagai pelakon,” jelasnya.

Bagaimanapun, Nafiz mengakui dirinya menyedari terdapat pelbagai spekulasi mengenai kehidupan peribadinya di media sosial, selepas kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Saya memang tidak begitu mengikuti media sosial. Saya hanya memuat naik hantaran sekali-sekala dan kurang bermain telefon. Masa saya lebih banyak dihabiskan dengan menanam pokok dan menjaga anak.

“Tetapi ada juga perkara yang orang hantar kepada saya, kebanyakannya daripada TikTok. Saya faham orang mahu tahu, cuma buat masa ini saya tidak mahu bercakap lebih lanjut mengenai rumah tangga saya,” ujarnya.

Nafiz berkahwin dengan adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah iaitu Diyana Omar pada 2 Januari 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Nafiz bagaimanapun tidak mendedahkan wajah dan nama puteri kesayangannya yang kini sudah berusia lima tahun.

The post Saya bukan bujang atau duda, janganlah doakan ke arah itu – Nafiz Muaz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved