'Saya bukan Messi' - Arif Aiman

FootballSports
25 Oct 2026 • 11:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya bukan Messi' - Arif Aiman
Arif Aiman mahu memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi. Foto: FB Malaysia NT.

PEMAIN sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi enggan dirinya dibuai dengan gelaran 'Messi Malaysia' sebaliknya menegaskan beliau hanyalah seorang pemain biasa yang sentiasa konsisten dan bekerja keras.

Pemain lincah berusia 24 tahun itu mengakui panggilan tersebut hanyalah sekadar label yang sering dilaungkan oleh peminat sedangkan fokus utamanya adalah memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi.

"Bukan Messi. Orang sahaja yang panggil 'Messi'. Bukan bermaksud saya pemain sepertinya. Saya bermain seperti pemain biasa sahaja.

"Namun apa yang paling penting adalah konsisten. Ya, konsistensi, kerja keras dan kesabaran. Bagi saya, kelebihan saya adalah gelecekan, situasi satu lawan satu dan melakukan bantuan gol," katanya ketika ditemu bual dalam satu rancangan bersama pempengaruh YouTube, Manny.

Kecemerlangan Arif Aiman bersama JDT sememangnya tidak perlu dinafikan lagi apabila terus menjadi aset paling berharga buat skuad Harimau Selatan dalam mendominasi kancah saingan domestik mahupun antarabangsa.

Bakat serta kualiti luar biasa yang dimiliki pemain kelahiran Pahang ini turut terserlah ketika menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekali gus menyaksikan namanya kini dilabel sebagai antara pemain sayap terbaik di pentas Asia.

Impak yang dicetuskan oleh Arif Aiman bukan sahaja digeruni lawan di peringkat serantau, malah prestasinya turut menarik perhatian pertahanan Borussia Monchengladbach yang juga pemain warisan Indonesia, Kevin Diks.

Pemain antarabangsa Indonesia itu menyifatkan Arif Aiman sebagai seorang pemain yang memiliki kualiti tinggi dan mempunyai keupayaan fizikal serta teknikal untuk bersaing di pentas bola sepak Eropah.

Kagum dengan kelincahan yang dipamerkan bintang JDT itu ketika berhadapan dalam aksi Piala ASEAN FIFA, Diks percaya Arif Aiman mempunyai pakej lengkap untuk melebarkan sayapnya ke liga Eropah sekiranya berpeluang berbuat demikian pada masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved