
SHAH ALAM: Doktor gigi dan pempengaruh, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie, 36, berharap kes komital yang difailkan bekas suaminya yang juga penyanyi, Nubhan, 40, dapat segera diselesaikan.
Menurut dr. Fie, hal demikian kerana dia enggan hal privasinya dicampuri pihak bekas suami membuatkan dia terpaksa berjaga-jaga dan berhati-hati dalam urusan hariannya.
“Kalau boleh saya nak isu ini selesai secepat mungkin. Ada banyak program melibatkan saya. saya nak meneruskan hidup saya bersama anak-anak dengan tenang.
“Ini tidak, saya macam ada perasaan takut, gementar, terasa seperti diperhatikan. Apatah lagi saya disoal sebanyak 120 soalan, Ibarat dia menanti-nantikan saya membuat kesalahan.
“Perkara itu membuatkan saya rasa terpenjara. Jika kes ini cepat selesai, saya tidaklah berasa seperti itu,” kongsinya.
Terdahulu, Dr Fie hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi mengikuti prosiding kedua kes komital yang difailkan bekas suaminya.
Beliau ditemani peguam Nor Hazura Hamzah dan Nur Shahidah Hassan.
Manakala Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad hadir ke mahkamah ditemani peguam Redzuan Ramli.
Tambah Dr. Fie, dia merasakan dirinya ibarat terpenjara susulan tindakan bekas suami yang dakwanya sering memerhatikan gerak geri dan tindak tanduknya.
“Apa saya nak buat saya kena fikir terlebih dahulu. Memanglah kita berfikir sebelum mengambil tindakan, tetapi tak adalah sampai merasakan diri kita ini terpenjara,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Dr. Fie juga berharap kes tersebut dapat diselesaikan secara baik untuk membolehkan dia meneruskan kehidupan dengan tenang.
“Sebagai ibu tunggal, saya mahu pergi jauh, macam-macam impian yang saya nak buat. Kalau boleh saya nak benda ini selesai secepat mungkin, tapi tak boleh sebab saya tak bersedia.
“Dia tidaklah menganggu, tetapi saya rasa tersekat. Setiap tindak tanduk saya diperhatikan. Saya pula bukannya orang yang boleh duduk diam.
“Saya nak pergi lebih jauh, aktif dalam media sosial, bukan terperap dalam klinik 24 jam. Perbuatan saya itu bagai dapat dilihat oleh pihak di sana. Dia ibaratnya boleh lihat setiap tindak tanduk kita, membuatkan kita merasakan hidup kita ini tiada privasi,” ujarnya.
Nubhan sebelum ini memfailkan komital terhadap bekas isteri, iaitu membabitkan tiga kenyataan di media sosial yang padanya berunsur fitnah dan menjatuhkan reputasinya sebagai usahawan.
Prosiding pertamanya dilaksanakan pada 5 Mei tahun ini bertempat di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini.
Bagaimanapun prosiding pagi tadi ditangguhkan kepada antara 19 atau 27 Januari 2027 kerana prosedur yang tidak disempurnakan pihak plaintif.
Terdahulu, Nubhan dan Dr. Fie sepakat bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 1 Disember 2025, dengan lafaz cerai kali kedua tersebut disahkan berlaku pada 26 Ogos 2025.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan, dan Afzan Nayille.
The post Saya rasa terpenjara – Dr Fie appeared first on Utusan Malaysia.





