'Saya masih ahli UMNO' - Anak Puad Zarkarshi kecewa dilabel 'spy'

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 7:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya masih ahli UMNO' - Anak Puad Zarkarshi kecewa dilabel 'spy'
Omar Hafidz

JOHOR BAHRU - Anak bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Omar Hafidz meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa dilabel sebagai 'spy' oleh segelintir ahli parti ketika turun membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, tindakan terlalu mudah menghukum kesetiaan seseorang selain cepat melabel sebagai musuh atau 'spy' menyukarkan usaha untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO.

"Ayah saya (Mohd Puad Zarkashi) pernah beri tazkirah ringkas kepada saya mengenai sebuah buku bertajuk 'Pendakwah Bukan Penghukum' tulisan Hassan Al-Hudhaibi.

"Intipati yang beliau sampaikan cukup bermakna. Seorang pendakwah bukan tugasnya menghukum, tetapi mengajak. Saya percaya prinsip yang sama juga wajar diamalkan dalam politik," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Omar Hafidz berkata, dia menghormati keputusan bapanya meninggalkan UMNO, namun memilih pendirian berbeza dengan terus kekal sebagai ahli parti itu kerana mempunyai pendirian, prinsip dan perjuangan sendiri.

Dia mendakwa, ketika pulang ke Johor pada Sabtu lalu bagi membantu kempen calon BN di Dewan Undangan Negeri (Dun) Senggarang, seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian memaklumkan bahawa kehadirannya dikatakan menyusahkan parti.

"Saya juga dimaklumkan terdapat pandangan bahawa saya dianggap sebagai 'spy' kepada ayah saya, malah, saya turut dimaklumkan terdapat arahan jika terdapat posting calon yang ada gambar saya maka ia mesti dikeluarkan.

"Terus terang, perkara itu amat mengecewakan. Bukan kerana jawatan atau kedudukan tetapi kerana saya hadir dengan niat untuk membantu parti yang masih saya anggap sebagai perjuangan saya.

Bagaimanapun, Omar Hafidz menegaskan tidak menyalahkan keseluruhan UMNO atas tindakan segelintir pihak kerana masih percaya ramai pemimpin dan ahli yang ikhlas dan mengutamakan perpaduan.

Sehubungan itu, dia berharap semua pihak mengambil iktibar agar tidak terus menghukum atau melabel seseorang sebelum memahami keadaan sebenar kerana akhirnya parti sendiri yang akan menerima kesannya.

"Saya tetap tidak akan membalas dengan kebencian. Saya memilih untuk terus berpegang kepada prinsip bahawa perjuangan tidak diukur pada jawatan, tetapi pada keikhlasan untuk berkhidmat.

"Saya masih ahli UMNO. Saya masih sayangkan UMNO dan tetap berharap UMNO menjadi sebuah parti yang lebih terbuka, matang dan mampu merangkul lebih ramai anak muda, bukan menjauhkan mereka kerana akhirnya, pendakwah bukan penghukum.

"Begitu juga seorang pejuang politik tugasnya merangkul bukan sekadar menghukum, tetapi terus terang, saya jadi takut untuk turun lagi membantu kempen kerana bimbang dihukum bahawa saya jadi punca calon kalah," katanya.

Terdahulu, Omar Hafidz menyatakan komitmen membantu memastikan kemenangan calon BN di beberapa kerusi DUN di daerah Batu Pahat.

Sokongan itu turut dikongsikan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Abdul Mutalif Abdul Rahim yang memaklumkan anak kepada Mohd Puad itu tampil menyatakan sokongan terbuka kepada BN sepanjang kempen PRN Johor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved