
KUALA LUMPUR – Sering dikaitkan menjalin cinta dengan rakan artis, penyanyi juga pelakon yang semakin meningkat naik, Azeva menegaskan cinta bukanlah satu keutamaannya memandangkan dia baru sahaja melangkah masuk ke dalam arena seni.
Selain akur nasihat ibunya juga penerbit Datuk A. Aida agar sentiasa menjaga batas diri dan fokus membina kerjaya, pemilik nama sebenar Azeva atau Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, ibunya itu juga bertegas tidak menjalinkan cinta dengan sesiapa, bahkan berasakan hubungan sebegitu juga hanya akan merugikan.
“Saya memang tak bercinta, itu lambat lagi sebab saya baru nak jejak kaki dalam industri.
“Kalau saya bercinta itu rugilah. Tapi kalau berkawan dan mengenali tidak mengapa mama kata.
“Cuma mama saya kata tahulah batas dan tahu yang jangan bercinta sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam masa sama, anak kepada penyanyi Ameng itu mendedahkan ibunya sentiasa memberikan kebebasan untuk berkawan dengan sesiapa termasuklah rakan seperjuangannya, Zaki Yamani.
“Kalau kehidupan peribadi, mama sangat ‘supporting’. Dia okey nak saya berkawan dengan sesiapa pun, Zaki pun mama saya okey nak berkawan.
“Tapi dia selalu tegur, saya sendiri tahu apa salah dan betul. Saya sendiri tahu bila orang ikhlas nak berkawan dengan kita,” jelasnya.
Tambahnya lagi, didikan tegas ibunya banyak membentuk kematangan dirinya untuk membaca niat serta ketulusan seseorang individu yang ingin mendekatinya.
“Disebabkan mak saya dah sediakan saya dan ajar. Kadang-kadang saya boleh baca air muka orang itu ikhlas dengan saya atau nak gunakan kita.
“Mak saya ajar dan kongkong, kalau ada kawan pun mereka yang ikhlas,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, hubungan rapat Azeva dan Zaki mencetuskan pelbagai spekulasi apabila mereka kerap muncul bersama dalam siaran langsung TikTok sehingga mengundang tanggapan kononnya mereka sedang bercinta.
Dalam masa sama, Zaki menepis spekulasi menjalinkan hubungan cinta dengan Azeva walaupun wanita itu memiliki sebahagian besar ciri-ciri idamannya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya memang tak bercinta, lambat lagi’ appeared first on Kosmo Online.






