“Saya Tak Kaya, Tapi Saya Tahu Ramai Orang Kaya Hati” – Lelaki Sebak Lihat Warga Emas Berniaga Dalam Hujan, Terus Hulur Bantuan

11 Jun 2026 • 8:44 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Saya Tak Kaya, Tapi Saya Tahu Ramai Orang Kaya Hati” – Lelaki Sebak Lihat Warga Emas Berniaga Dalam Hujan, Terus Hulur Bantuan

KUALA LUMPUR – Sikap prihatin seorang lelaki terhadap pasangan warga emas yang berniaga di tepi jalan telah menyentuh hati ramai netizen selepas perkongsiannya di Threads menjadi tular.

Menerusi perkongsian tersebut, lelaki dikenali sebagai Zulkhairi menceritakan dia ternampak seorang makcik duduk berniaga tanpa khemah ketika hujan pada hari sebelumnya.

Menurutnya, peristiwa itu membuatkan dia tidak senang duduk sehingga terbawa-bawa ke hari berikutnya.

“Semalam tengok mak cik ni duduk tanpa khemah berniaga dalam hujan. Hari ni saya pergi dekat mereka dan tanya.

“Makcik kata payung meniaga dia patah dan sedang kumpul duit untuk beli payung baru,” tulisnya.

Terus Hubungi Majikan Untuk Bantu

Tidak sanggup melihat pasangan warga emas itu berniaga dalam keadaan serba kekurangan, Zulkhairi berkata dia terus menghubungi majikannya bagi menjelaskan situasi yang berlaku.

Menurutnya, majikannya tanpa banyak soal terus bersetuju untuk menaja sebuah payung baharu buat pasangan tersebut.

“Aku pun terus call boss dan explain. Boss tanpa cakap banyak terus suruh beli payung baru untuk mereka.

“Terima kasih boss sebab sponsor mak cik dan pak cik ni payung baru,” katanya.

Dalam masa sama, Zulkhairi turut merendah diri dengan menyatakan dirinya bukanlah orang kaya, namun percaya masih ramai individu berhati mulia yang sanggup menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya tak kaya tapi saya tahu orang sekeliling saya kaya dan punya hati yang baik. Kalau call untuk bantu orang, pasti bantu,” ujarnya.

Ajak Orang Ramai Sokong Jualan Mereka

Selain membantu menyediakan payung baharu, Zulkhairi turut mengajak orang ramai untuk menyokong perniagaan pasangan warga emas tersebut.

Menurutnya, mereka berniaga di belakang M-City, Jalan Ampang dengan menjual air soya dan tau fu fah pada harga berpatutan.

“Pada yang nak support mak cik ni boleh pergi di belakang M-City Jalan Ampang.

“Soya RM3, Tau fu fah RM4,” katanya.

Netizen Tersentuh Dengan Keprihatinan Ditunjukkan

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji tindakan Zulkhairi dan majikannya yang disifatkan prihatin terhadap nasib pasangan warga emas berkenaan.

Malah ada yang mengakui tersentuh melihat masih ramai individu yang sanggup membantu tanpa mengharapkan balasan.

“Terima kasih bang sebab prihatin. Terima kasih kat boss abang juga. Semoga Allah balas kebaikan kalian dengan berlipat kali ganda.”

“Aku bayar internet untuk tengok benda-benda macam nilah. Terima kasih orang baik.”

“Terima kasih orang baik. Semoga dipermudah segala urusan dan dimurahkan rezeki buat semua yang membantu pasangan ini.”

Sementara itu, Zulkhairi turut mendedahkan dia sendiri berasa sebak apabila melihat makcik tersebut berniaga dalam hujan sehingga tidak dapat tidur malam memikirkan keadaan mereka.

“Sejujurnya saya menangis dari jauh melihat makcik tu duduk dalam hujan malam tu. Tak boleh tidur sebab asyik teringat. Jadi hari ni saya kata pada diri sendiri, saya mesti buat sesuatu,” tulisnya. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post “Saya Tak Kaya, Tapi Saya Tahu Ramai Orang Kaya Hati” – Lelaki Sebak Lihat Warga Emas Berniaga Dalam Hujan, Terus Hulur Bantuan appeared first on The Malaysian Update.