“Sebak Tengok, Anak Cucu Tersenyum Lihat Kasih Sayang Mereka” – Pertemuan Pasangan Warga Emas Selepas 47 Hari Undang Air Mata Netizen

Family & ParentingLifestyle
9 Jun 2026 • 4:14 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Sebak Tengok, Anak Cucu Tersenyum Lihat Kasih Sayang Mereka” – Pertemuan Pasangan Warga Emas Selepas 47 Hari Undang Air Mata Netizen

KUALA LUMPUR – Ada kalanya kasih sayang tidak perlu dilafazkan dengan kata-kata. Cukup dengan sebuah pelukan erat selepas sekian lama berjauhan, segala rasa rindu, syukur dan cinta yang tersimpan di dalam hati seakan-akan terluah dengan sendirinya. Itulah yang dirasai ramai netizen selepas menyaksikan detik pertemuan semula pasangan warga emas ini sehingga ada yang mengaku mengalirkan air mata.

Satu video memaparkan detik menyentuh hati pasangan warga emas bertemu semula selepas berpisah selama 47 hari telah mencuri perhatian ramai di media sosial.

Menerusi perkongsian oleh pengguna TikTok JRM Holistik Azimah, wanita berkenaan dilihat terus memeluk suaminya sebaik bertemu di sebuah lapangan terbang selepas tempoh yang lama berjauhan.

Lebih menyentuh hati, suaminya yang berada di kerusi roda kelihatan tidak dapat menahan sebak ketika memeluk erat isterinya selepas sekian lama tidak bersua muka.

“Alhamdulillah, syukur kembali bersatu. Sebak kita tengok momen begini.

“Reaksi anak-anak dan cucu-cucu melihat kasih sayang antara mereka insya-Allah menjadi contoh terbaik,” tulis pemilik video pada ruangan kapsyen.

Pelukan Penuh Rindu Undang Sebak

Dalam video tersebut, pasangan berkenaan dilihat berpegangan tangan sebelum saling berpelukan erat sambil diperhatikan oleh anak-anak serta cucu mereka yang turut hadir menyambut kepulangan wanita itu.

Wajah suami yang mengalirkan air mata ketika memeluk isterinya membuatkan ramai netizen mengakui mereka turut tersentuh menyaksikan momen berkenaan.

Malah ada yang berpendapat air mata itu bukan sekadar kerana rindu terhadap pasangan hidup, tetapi juga kerana rasa syukur apabila dapat bertemu semula dengan insan tersayang selepas tempoh perpisahan yang agak lama.

Penantian Hampir Tujuh Minggu Berakhir

Menurut perkongsian pemilik video, pasangan itu terpaksa berjauhan selama 47 hari. Berdasarkan hashtag yang digunakan pada video, wanita berkenaan dipercayai berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji sepanjang tempoh tersebut.

Untuk rekod, jemaah haji Malaysia lazimnya berada di Tanah Suci selama lebih sebulan bergantung kepada jadual penerbangan serta urusan ibadah yang ditetapkan. Tempoh yang panjang itu menyebabkan ramai ahli keluarga terpaksa berjauhan dengan insan tersayang sebelum dapat bertemu semula selepas kepulangan mereka ke tanah air.

Justeru, tidak hairanlah momen pertemuan semula seperti yang dikongsikan dalam video tersebut sering mengundang rasa sebak, terutama apabila melibatkan pasangan yang telah lama hidup bersama dan saling menjadi tempat bergantung antara satu sama lain.

Netizen Kagum Dengan Kasih Sayang Pasangan Itu

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa sebak dan kagum melihat hubungan pasangan tersebut yang masih utuh walaupun sudah lanjut usia.

Ada juga yang menyifatkan kasih sayang seperti itu lahir daripada sikap saling memaafkan serta menghargai pasangan sepanjang usia perkahwinan.

“Tanya berapa kali mereka bergaduh dan saling memaafkan, hasilnya cinta tanpa batas,” tulis seorang pengguna.

Menariknya, pemilik video turut membalas komen tersebut dengan berkongsi amalan yang diamalkan oleh ibunya.

“Masya Allah. Betul tu.. alhamdulillah mak selagi boleh setiap malam minta maaf pada ayah…” katanya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang menganggap sikap merendah diri dan saling bermaafan antara suami isteri menjadi antara kunci hubungan yang berkekalan hingga ke usia emas.

“Anak cucu dia tak menangis, kita yang tengok ni pula yang menangis,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.

Perkongsian itu terus menerima pelbagai reaksi positif dengan ramai mendoakan agar pasangan berkenaan dikurniakan kesihatan yang baik serta terus bahagia hingga ke akhir hayat. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post “Sebak Tengok, Anak Cucu Tersenyum Lihat Kasih Sayang Mereka” – Pertemuan Pasangan Warga Emas Selepas 47 Hari Undang Air Mata Netizen appeared first on The Malaysian Update.