‘Saya tiada terima sebarang arahan berhubung pembayaran denda RM50 juta’ – Peguam Najib

LocalPolitics
4 Nov 2026 • 12:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Saya tiada terima sebarang arahan berhubung pembayaran denda RM50 juta’ – Peguam Najib

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan beliau tiada menerima sebarang arahan daripada anak guamnya untuk membayar denda RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Kehadiran Muhammad Farhan di kompleks mahkamah di sini, hari ini, mencetuskan spekulasi bahawa denda itu bakal dibayar.

Peguam itu memaklumkan bahawa beliau berada di situ untuk urusan lain, namun menerima banyak mesej yang meminta penjelasannya berhubung desas-desus pembayaran denda terbabit.

“Saya tiada sebarang arahan dan tidak pasti mengenai status semasa. Saya tiada menerima sebarang arahan berhubung denda itu.

“Saya memang tiada maklumat. Jika ada pihak ketiga yang mahu membuat pembayaran itu sekalipun, sepatutnya saya dimaklumkan,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada denda itu bakal dibayar hari ini, selain siapa dan bila pembayaran berkenaan akan dibuat sekiranya perkara berkenaan berlaku.

Beberapa petugas media dilihat sedang menunggu di lobi kompleks mahkamah, namun dilarang memasuki kawasan kaunter pembayaran.

Anggota polis turut ditempatkan di kawasan lobi berkenaan.

Terdahulu, Najib dilaporkan akan membayar denda RM50 juta bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Sumber dipetik berkata, denda terbabit akan dibayar oleh wakil bekas Perdana Menteri itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada 18 September lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkait penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

The post ‘Saya tiada terima sebarang arahan berhubung pembayaran denda RM50 juta’ – Peguam Najib appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved