
PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir menegaskan dirinya tidak pernah menjadikan status, gelaran mahupun kepentingan sebagai ukuran dalam memilih seseorang untuk dijadikan sahabat.
Menerusi perkongsian di Threads, Anzalna berkata, dia lebih mementingkan sikap, hati dan keikhlasan seseorang dalam menjalinkan persahabatan meskipun tidak mempunyai latar belakang golongan ternama.
“Saya tidak memilih kawan berdasarkan status, gelaran atau apa yang mereka boleh tawarkan kepada saya. Sama ada VIP atau tidak, bagi saya semua orang sama sahaja.
“Apa yang penting ialah sikap, hati dan sejauh mana keikhlasan seseorang apabila menganggap saya sebagai kawan. Bagi saya, keikhlasan sentiasa lebih bernilai daripada status,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon drama Memori Cinta Suraya itu turut memberikan peringatan tegas kepada individu yang tidak ikhlas atau berpura-pura dalam menjalinkan persahabatan agar tidak mendekatinya.
“Kalau kawan yang berpura-pura, jangan sekali-kali datang dekat dengan saya. Pergi main jauh-jauh,” selorohnya.
Bagaimanapun, Anzalna tidak memperincikan sama ada perkongsian tersebut ditujukan kepada mana-mana individu.
Bersetuju dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet berpendapat pada zaman kita tidak ramai individu yang ikhlas dalam persahabatan, sebaliknya bersifat talam dua muka.
“Betul. Tapi sekarang ramai sangat kawan yang depan baik, belakang bersikap sebaliknya,” komen netizen.
“Takkan dia mahu mengaku dia pura-pura? Seronoknya kalau ada. Senang mahu tapis awal-awal,” kata seorang pemilik akaun.
The post Saya tidak pilih kawan berdasarkan status, yang pura-pura pergi main jauh-jauh – Anzalna Nasir appeared first on Utusan Malaysia.





