'Titik terendah dalam hidup saya' – Suami luah kesedihan isteri, anak hilang sekelip mata

16 Aug 2026 • 10:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Titik terendah dalam hidup saya' – Suami luah kesedihan isteri, anak hilang sekelip mata
Laporan Sinar Harian pada Jumaat berhubung kemalangan maut melibatkan dua beranak di Temerloh: Gambar kanan: Saifulnizam

KUANTAN- “Balik rumah dalam keadaan kosong. Aku rasa macam ini bukan tempat saya dah.”

Demikian luahan pilu, Saifulnizam Sulaiman, suami Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan ayah kepada, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, yang meninggal dunia dalam tragedi lori tangki hempap kereta sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Triang pada Jumaat lalu.

Menerusi perkongsian di Facebook Story, Saifulnizam yang ketika itu berada di rumahnya di Jerantut turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan isteri dan anaknya.

Menurutnya, dirinya belum mempunyai kekuatan untuk membuka media sosial atau menonton video kejadian yang tersebar.

“Saya belum ada kekuatan untuk buka lagi video-video yang ada bertebaran, belum ada kekuatan lagi. Ini tamparan yang sangat hebatlah bagi saya. Titik terendah dalam hidup saya,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, dua beranak terbabit terkorban akibat kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki terbabit yang bermuatan 32,000 liter bahan api manakala pemandu lori hanya cedera ringan.

Dalam luahan penuh emosi itu, Saifulnizam turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu ujian besar ALLAH SWT.

“ALLAH uji, ambil semula yang Dia pinjamkan pada saya.

“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari jauh dan dekat,” katanya.

Perkongsian itu turut mengundang simpati orang ramai yang terus menitipkan doa agar dia diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan besar tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved