
SIAPA sangka, di sebalik figura penceramah dan ahli politik yang terkenal dengan ketegasannya, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebenarnya menyimpan sisi cukup romantis.
Menerusi majlis resepsi gilang-gemilang yang meraikan penyatuan jiwanya bersama penyanyi dan pelakon jelita, Bella Astillah baru-baru ini, kehangatan cinta mereka benar-benar mencuri perhatian ramai.
Namun, di sebalik kemeriahan dewan dan hiasan pelamin indah, apa yang paling menyentuh perasaan bukannya rekaan busana mahupun majlis yang mewah.
Sebaliknya, ia adalah keberanian dan keikhlasan Syed Saddiq mendepani persepsi nakal netizen menerusi sebuah ucapan dari hati ke hati.

Luahan Spontan Tanpa Teks
Dalam ucapannya, Syed Saddiq meluahkan apa yang terbuku di dadanya demi mempertahankan isteri tercinta di hadapan ribuan tetamu.
"Sebagai suami kepada Bella dan berucap sebagai seorang ayah kepada dua anak-anak. Pada awalnya, saya dah siapkan ucapan, tetapi saya pilih berucap sebagai seorang suami dan ayah.
"Buat pertama kalinya saya lebih suka untuk berucap dari hati ke hati and to be honest, my wife knows absolutely nothing so bersedialah wahai isteriku."
"Saya merupakan individu yang paling gembira pada malam ini. Minggu lepas, apabila sudah rasa, saya rasa saya manusia yang paling gembira dalam dunia ini.
"Mungkin orang di luar sana kenal Bella daripada sisi dan sudut yang berbeza. I am the luckiest man, the least of these lucky saya sangat bernasib baik kerana mungkin orang lihat Bella daripada sisi yang berbeza,"ungkapnya.
Menjawab Isu 'Tidak sekufu'
Bukan rahsia lagi, perhubungan pasangan ini tidak terlepas daripada kata-kata sinis di media sosial.
Ada yang menganggap lelaki tinggi lampai itu sebagai 'green forest', malah ada juga yang tergamak menilai ikatan mereka tidak sepadan atau 'tidak sekufu'.
Membela maruah isterinya, Syed Saddiq menegaskan bahawa persepsi sedemikian lahir daripada mereka yang hanya menilai Bella dari luaran tanpa melihat pengorbanan wanita itu sejak kecil.

"Saya lihat ada orang yang melontarkan komen di sosial media kata Bella is very lucky to have me, Saddiq ni green forest.
"Ada pula yang sanggup kata bahawa kita tidak sekufu and I want to answer that in right, I want to defend my wife. Mungkin kalian tidak tahu benda pada umur 5 tahun, saya mungkin masih mengharapkan ibu bapa saya untuk memakaikan saya baju. Bella dah masuk Bintang RTM kecil.
"Melalui persembahan-persembahan dia, bakatnya, kebolehannya pada umur 7 tahun, dia dah berjaya berdikari membawa kedua ibu bapanya yang pindah dari Sabah ke Kuala Lumpur.
"Dapat apartment, dapat kereta untuk gunakan penumpang bukan sekadar dirinya dan adiknya tetapi pada semua ahli keluarga. If that is not exceptional I don't know what else is," kongsi beliau lagi.
Ketabahan seorang ibu luar biasa
Bercerita lanjut mengenai kisah silam mereka, Ahli Parlimen Muar itu membuat perbandingan jujur.
Ketika dirinya masih leka bermain pada usia kanak-kanak, Bella sudah menggalas tanggungjawab besar mencari rezeki halal demi menyara seluruh keluarga.
Bahkan baginya, kehebatan Bella membesarkan dua anak mereka, Ayden Adrean dan Ara Adreanna, meletakkan posisi wanita itu jauh lebih tinggi di matanya.
"Saya umur 7 tahun saya masih bermain, Bella dah perform masuk TV, berdikari mencari semua pendapatan yang halal bagi keluarganya. I was an absolute no one, no one.

"Nak cakap soal pendidikan, ya saya dapat tawaran terbaik, dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Tetapi Bella pula bergelar seorang ibu kepada dua anak, Ara dan Ayden. You are the smartest, brightest kids and now I have the privilege of calling my children.
"Dan itu semua adalah sumbangan Bella Astillah yang luar biasa. Kalau itu bukan sekufu, saya tak tahu lah. Sebab itu saya nak kongsikan kalau nak bicarakan tentang soal sekufu, saya yang tak layak untuk berdiri di sebelah Bella.
"She is the ultimate green forest, she is the ultimate mother, she is the exceptional lady who I am now privileged, to call my wonderful wife. Saya sangat bangga untuk berdiri bersama dengan Bella. I love you," ujar beliau.
"Saya bukan hero, Bella pelengkap"
Tindakan Syed Saddiq mendepani kritikan luaran bukanlah kerana melayan provokasi, sebaliknya demi memastikan kebahagiaan dan ketenangan jiwa Bella sentiasa terjaga.
"Saya tak ambil perkara itu secara peribadi, cuma saya nak pastikan isteri saya gembira. Banyak perkara yang dibangkitkan bukan benda baharu, malah sudah berbulan-bulan sejak tahun lalu.
"Kadangkala isteri tak perlu pun memberi respons. Ada masanya berdiam diri adalah jawapan terbaik, tetapi ada ketika saya sendiri perlu tampil mempertahankan isteri," tegasnya.
Beliau turut menepis dakwaan kononnya Bella memerlukan seorang 'penyelamat' untuk keluar daripada kesusahan hidup.
"Tanggapan yang Bella perlukan pertolongan atau diselamatkan adalah tidak benar. Realitinya saya tidak menyelamatkan Bella, Bella yang menyelamatkan dirinya sendiri.
"Dia sangat berdikari, kuat dan tabah. Tanpa saya pun dia berjaya membahagiakan dua anaknya dan memberikan pendidikan terbaik. Kalian sendiri dengar bagaimana Ayden berucap dengan begitu petah, itu semua hasil didikan Bella.
"Dia tak perlukan penyelamat kerana Bella boleh menjaga dirinya sendiri. Saya hanya tambahan, pelengkap kepada perasa," ungkap Syed Saddiq lagi.
Air mata & rasa syukur
Mendengar bait-bait kata romantis yang tidak disangka-sangka itu, Bella mengakui dirinya amat tersentuh dan bersyukur.

"Saya memang tak tahu sebab dia tak beritahu apa ucapan yang nak diberikan. Saya rasa sangat terharu sebab lega ada orang yang sayang saya dan anak-anak dengan ikhlas serta mempertahankan saya.
"Itu sebenarnya jauh lebih cukup. Saya tak pernah terfikir atau meminta YB untuk keluarkan kenyataan atau pertahankan saya sebab saya rasa ini lumrah sebagai selebriti."
"Saya faham dia tak nak saya sedih. Saya sangat gembira dan berterima kasih untuk itu. Alhamdulillah," luah Bella.






